suria

Murid Tahfiz Melecur, Asrama Terbakar

Gambar Hiasan

KUANTAN: Seorang murid tahfiz cedera dalam kebakaran asrama Pondok Nurul Iman di Kampung Tanjung Batu, Nenasi, Pekan dekat sini Khamis malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi Mohd Fadzirllah Zainal Abidin berkata dalam kejadian 8 malam itu, Mohd Aiman Syafiq Abdullah, 10, mengalami lecur pada muka dan tangan.

"Kejadian berlaku ketika semua murid dan guru berada di masjid kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan kanak-kanak ini dikatakan kembali ke asrama untuk menukar baju," katanya ketika dihubungi, di sini, Jumaat.

Katanya kanak-kanak itu mendakwa melihat seorang individu mencurah sesuatu ke dalam bilik asrama yang turut mengenainya sebelum ternampak percikan api.

"Percikan api itu menyambar mukanya dan dia kemudian berlari keluar meminta bantuan daripada rakan-rakan dan guru," katanya.

Beliau berkata sebaik menerima laporan, sebuah jentera bomba dengan enam anggota digegaskan ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dikawal dalam masa setengah jam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan Superitendan Amran Sidek mengesahkan menerima laporan kejadian pada pukul 9.46 malam daripada warden pusat tahfiz tersebut Mohd Faiz Zakariah, 32.

"Pengadu mendakwa seorang muridnya melihat asrama yang menempatkan 12 pelajar tersebut dibakar oleh seorang individu yang menaiki kereta Proton Saga," katanya.

Amran berkata kerugian dianggar RM20,000 dan kes disiasat menurut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.-- Bernama

tahfiz, Nenasi

Artikel Berikut

Mara Diarah Tangguh Tajaan

Artikel Lain