suria

Bank Batal Acara Lelongan, Tarik Status Bankrap

KUALA LUMPUR: Sebuah rumah di Subang 2 yang berjaya dibida oleh wanita Cina, Lee Hui Sen, sepatutnya dilelong semula tiga hari lalu.

Namun sebelum sempat dilelong, pihak bank mengambil keputusan untuk membatalkan acara tersebut dan menarik semula status bankrap ke atas pemilik asal rumah tersebut, seorang lelaki Melayu yang hanya dikenali sebagai S.

Malah pihak bank menetapkan semula tempoh pajakan selain menawarkan penstrukturan semula pinjaman rumah tersebut.

Persetujuan itu dicapai apabila Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bertemu dengan pegawai bank diiringi penal penasihat muamalat persatuan itu, Sheikh Abdul Kareem dan penasihat perundangan, Edward Lim.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak bank kerana menyelesaikan masalah ini menerusi jalan terbaik.

"Selepas kami menerangkan kepada pegawai bank tentang situasi yang dihadapi oleh S dan isterinya, Nor, mereka memberi maklum balas dan penyelesaian yang baik.

"Kami juga menyediakan bank draf sebanyak RM44,500 menggunakan wang yang dipinjam daripada rakan-rakan kami untuk membida rumah tersebut jika acara lelongan diteruskan," kata Nadzim pada sidang media di sini, Khamis.

Pada bulan lalu, sikap prihatin Hui Sen menjadi bualan netizen apabila dia sanggup melepaskan wang deposit berjumlah RM44,500 untuk membeli rumah tersebut selepas mendapati keluarga S masih tinggal di rumah itu.

Malah Hui Sen turut menulis sepucuk surat kepada mereka dengan memohon maaf kerana membeli rumah itu dan berharap wang deposit tersebut digunakan untuk membantu keluarga terbabit.

Malah dia mahu identitinya dirahsiakan kerana tidak mahu menarik perhatian umum.

Nor yang turut hadir ke sidang media tersebut, berkata, dia berasa sangat lega kerana masalah yang dihadapi keluarganya akhirnya selesai.

Namun dia masih menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak bank dan pengesahan dalam bentuk hitam putih (bersurat).

"Kami mengakui menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu menjelaskan bayaran setiap bulan.

"Kami bertemu dengan pegawai bank, memberi cek dan mengatur beberapa penyelesaian.

"Kami melakukan segala yang termampu tetapi pada masa sama, pegawai bank turut mahu mengisytiharkan suami saya sebagai bankrap dan saya rasa tertipu," katanya sambil menitiskan air mata.

Pihak bank yang terlibat dalam kes itu masih mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Viral Surat Rumah Lelong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain