suria

Lelaki Disyaki Pakar Buat Bom Ditahan Di Nibong Tebal

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bom buatan sendiri, ditahan bersama teman wanitanya dalam serbuan polis di sebuah rumah di Taman Minamah, Nibong Tebal dekat sini, Khamis.

Lelaki berusia 32 tahun yang mempunyai enam rekod jenayah itu dikatakan mampu menghasilkan bom buatan sendiri yang boleh diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye pada sidang akhbar di sini hari ini berkata selain membuat bom, lelaki dan kekasihnya berusia 42 tahun yang juga isteri orang itu, turut menghasilkan dadah.

"Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, kami menemui pelbagai jenis dadah dan satu batang paip PVC sepanjang 2.66 meter. Di dalam batang paip itu terdapat empat paip bom yang mempunyai wayar dipercayai dibuat sendiri oleh suspek lelaki," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bom antaranya transmitter, alat kawalan jauh permainan, alat-alat pemateri, komponen elektromekanikal dan papan suis serta lapan butir peluru senjata api laras panjang dan sebilah kerambit.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin (12.65 gram), ketamin (18.35 gram), syabu (3.26 gram), pil ecstacy (24 biji) dan kafein (satu kilogram) yang kesemuanya bernilai RM3,200.

Chuah berkata antara peralatan menghasilkan dadah yang dirampas ialah set acuan tekanan disyaki digunakan untuk membuat pil dan alat penimbang digital.

Beliau berkata rumah semi-D setingkat itu disewa pasangan kekasih terbabit dan berdasarkan hasil soal siasat, lelaki terbabit mendakwa bom itu diguna untuk melindungi perniagaan menghasil serta menjual dadah yang dijalankannya bersama kekasihnya.

Chuah berkata polis masih menjalankan siasatan terperinci termasuk kemungkinan lelaki terbabit menjual atau menghasilkan bom buatan sendiri itu kepada pihak lain bagi kegiatan jenayah atau sama ada mempunyai rangkaian sindiket menghasilkan bom. 

Beliau berkata pasangan kekasih itu dipercayai menjalankan kegiatan menghasilkan dan menjual dadah sejak enam bulan lepas untuk pasaran di sekitar negeri ini.

"Lelaki berstatus duda dan teman wanitanya yang telah pun berkahwin itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.-- Bernama


bom, Nibong Tebal, Chuah Ghee Lye

Artikel Lain