suria

Mangsa Letupan Bunga Api Terpaksa Lupakan Sesi Persekolahan Esok

KLANG: Seorang mangsa letupan bunga api pada sambutan ambang tahun baharu terpaksa melupakan hari pertama persekolahan 2017 esok kerana kecederaannya masih belum pulih.

Muhamad Adib Fakri Mohd Fareed, 10, yang bakal memasuki tahun empat Sekolah Kebangsaan Telok Gadong di sini melecur teruk di kaki akibat terkena percikan api dalam insiden di padang Kompleks Sukan Pandamaran, di sini.

"Sedih jugalah, barang sekolah semua dah siap tapi doktor kata duduk rumah dulu sebab kaki sakit," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Delek di sini Isnin.

Selain Muhamad Adib Fakri, turut cedera dalam insiden itu adalah abangnya Muhamad Fareez Adam, 12, yang cedera di punggung dan bapanya, Mohd Fareed Mustamam, 37.

Mereka adalah antara 14 orang yang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Persembahan bunga api itu merupakan acara kemuncak Fiesta Gegar Klang yang dianjurkan Majlis Perbandaran Klang bermula dari Jumaat lepas sehingga semalam.

Sementara itu, Mohd Fareed berkata beliau berharap insiden sama tidak berulang pada sambutan tahun baharu yang akan datang.

Katanya semua langkah keselamatan untuk pengunjung dan peralatan bunga api perlu diberi perhatian serius bagi mengelak insiden yang sama daripada berlaku.

"Saya hanya cedera di tangan kiri akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi meluangkan masa melawat mereka.

Artikel Lain