suria

Bekalan Makanan Mangsa Banjir Cukup Untuk Sebulan - JKM

BERPANTANG DI PUSAT PEMINDAHAN...Mangsa banjir, Salina Mohd, 33 memangku bayinya, Nur Emma Qaleesya Othman yang baru berusia 35 hari, di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA BERANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi jaminan bekalan makanan di Terengganu dan Kelantan yang terjejas banjir  mencukupi sekiranya banjir berlarutan sehingga sebulan.


Ketua Pengarah JKM Datuk Zulkiply Ramly berkatapihaknya telah melakukan persediaan awal dengan menyediakan bekalan makanan di pengkalan hadapan dan depo simpanan bekalan makanan yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Alhamdulillah, walaupun banjir berlaku di dua-dua negeri ini, kerja-kerja penghantaran bekalan dan pengagihan makanan berjalan lancar.

"Kita mempunyai dua depo bekalan makanan yang besar di Marang, Terengganu dan di Kemumin di Kelantan dan bekalan makanan ini juga cukup untuk sebulan sekiranya banjir berlaku lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Kampung Getang di sini Isnin.

Zulkiply berkata pihaknya juga mengambil kira pengalaman berhadapan dengan banjir yang teruk dua tahun lepas di dua buah negeri itu sebagai persediaan menghadapi banjir tahun ini.

"Untuk mendapatkan bekalan makanan ini juga kita turut bekerjasama dengan tiga pasaraya besar untuk mendapatkan bekalan makanan segera.

"Di setiap negeri kita juga mempunyai pengkalan hadapan masing-masing dan mini depo di daerah-daerah," katanya.

Dalam pada itu, Zulkiply berkata satu pusat pemindahan berskala besar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Hulu Terengganu dikenalpasti dapat menampung jumlah mangsa banjir yang ramai di daerah ini.

"Pusat perpindahan ini boleh menempatkan hingga 2,000 mangsa banjir dan tiga pembekal tempatan boleh menghantar bekalan makanan ke depo dan pusat pemindahan ini jika diperlukan.


"Daerah ini paling ramai terjejas dan jika diperlukan penempatan ini juga boleh menjadi mini depo untuk bekalan makanan," kataya.

mangsa banjir, bekalan makanan, JKM

Artikel Lain