suria

Bekas Krew RTM Idris Said Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Bekas krew media Radio Televisyen Malaysia (RTM) Idris Said, 62, yang juga pendaki Everest Negara di bawah Persatuan Kembara Negara (PKN), menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang tidur di kediamannya di Kampung Kerinchi, di sini, Ahad.

Isteri Allahyarham, Fauziah Melan, 56, berkata pemergian suaminya itu disedari ketika beliau mengejutkan Allhayarham untuk menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumah mereka pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Arwah sempat mengerjakan solat Subuh dan kemudian tidur sehingga tidak sedarkan diri lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Fauziah yang bertugas sebagai setiausaha di Angkasapuri berkata pemergian suaminya tidak dijangka kerana kesihatannya berada dalam keadaan baik walaupun menghidap kencing manis dan darah tinggi.


"Allahyarham merupakan seorang yang suka beramal jariah malah aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan penduduk di sini... dia juga seorang bapa yang penyayang, bertanggungjawab dan tegas," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Desa Aman, Pantai Dalam di sini pada kira-kira pukul 10 malam semalam.

Allahyarham merupakan seorang daripada lima peserta yang berjaya mendaki sehingga ke puncak semasa Ekspedisi Merdeka di Everest pada 2007 dan melaungkan azan sebaik tiba di puncak itu.

Allahyarham yang berkhidmat dengan RTM selama 36 tahun sejak 1979 sehingga bersara pada tahun lepas, meninggalkan dua isteri dan lapan anak.

Sementara itu, rakan seperjuangannya yang turut serta mendaki sehingga ke puncak Everest, Marina Ahmad, 36, berkata Allahyarham adalah seorang yang tegas dan pantas menyiapkan segala tugasan yang diberi.

"Saya mengenali Allahyarham sejak menyertai projek Demi Negara ke Everest 2004 dan setelah saya bekerja sebagai Penerbit Rancangan di RTM pada 2006 barulah saya berkawan rapat dengan Allahyarham serta isterinya.


"Allahyarham tidak banyak bercakap tetapi kalau dah buka topik perbualan, riuh juga lah kerana dia suka mengusik rakan-rakan," katanya.

krew RTM, kencing manis, Idris Said

Artikel Lain