suria

30 Sekolah Di Kelantan Ditutup Esok Akibat Banjir

Jalan Sekolah Cina di Pekan Rantau Panjang ditenggelami air banjir berikutan hujan yang berterusan sejak Jumaat lepas. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Sebanyak 30 sekolah di jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat ditutup esok berikutan banjir yang belum surut.

Jabatan Pendidikan Kelantan dalam kenyataannya malam Isnin berkata, penutupan kesemua sekolah terbabit mengakibatkan 9,501 pelajar tidak dapat menghadiri hari ketiga sesi persekolahan 2017.

Ia turut melibatkan 958 guru dan kakitangan sekolah.

Daripada jumlah pelajar itu, seramai 7,746 orang adalah dari 18 sekolah di jajahan Pasir Mas, 953 pelajar di lima sekolah di Tanah Merah, 588 pelajar di enam sekolah di Kuala Krai dan 214 pelajar di sebuah sekolah di Tumpat.

Sekolah di Pasir Mas yang ditutup adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, SK Rahmat, SK Gual Tokdeh, SK Rantau Panjang, SK Lubok Stol, SK Sri Rantau Panjang 2, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 1.

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah Siram, SABK Diniah Bongor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khay Boon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Tiang Chandi, SMK Gual Tinggi, SK Kedai Tanjong, SK Bakong, SK Gual Sitok dan SMK Gual Periok.

Di Kuala Krai pula, ia melibatkan SK Pemberian, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Pasir Kelang, SK Kuala Nal dan SABK Saadatul Qura.

Lima sekolah di Tanah Merah yang ditutup adalah SMK Ladang Kerilla, SK Ladang Kerilla, SK Sokor, SK Kampung Panjang dan SK Tebing Tinggi manakala di Tumpat, hanya membabitkan SK Pulau Beluru.

Penutupan semua sekolah itu adalah berikutan laluan ke sekolah ditenggelami banjir dan berbahaya kepada pelajar dan guru.


Artikel Lain