suria

Goldstar Express Nafi Terbabit Kemalangan Di Pagoh

MELAKA: Goldstar Express Sdn Bhd menafikan bas yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 14 kematian di Pagoh, Johor, pada 24 Disember lepas adalah di bawah pengurusan syarikatnya.

Ketua Penyelia Wilayah Selatannya Steven Chong berkata pada tahun lepas seorang daripada empat pengarah syarikat itu telah menarik diri dan hasil persetujuan bersama, bas berkenaan yang bernombor pendaftaran AJC 6633 itu diberikan kepada pengarah berkenaan.

Katanya bekas pengarah itu kemudiannya menubuhkan syarikat baharu dan pengurusan bas terbabit, termasuk urusan tiket dan pelan perjalanan adalah di bawah syarikat baharu itu.

"Penjualan tiket dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur (dalam kejadian itu) bukan dilakukan syarikat kami. Bukti tiket boleh didapati di tangan penumpang yang cedera, dan mereka juga berkata tiket itu dibeli daripada syarikat lain.

"Kami menjadi mangsa dalam tragedi ini. Kami kesal, orang yang sepatutnya bertanggungjawab tidak menyelesaikan masalah ini dan sebaliknya menyembunyikan diri mereka," katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 24 Disember lepas, bas itu terjunam ke dalam curam sedalam 10 meter di Km137.3 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan dengan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh menyebabkan 14 penumpang maut dan 16 yang lain cedera.

Bagaimanapun, Chong berkata disebabkan bayaran pinjaman pembelian bas terbabit belum selesai, ia tidak dapat ditukar milik daripada Goldstar Express kepada syarikat baharu di bawah bekas pengarah terbabit.

Katanya Goldstar Express telah menjelaskan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melalui surat rayuan penarikan penggantungan syarikat itu yang diserah pada Rabu lepas (28 Disember).

"Kita juga menghubungi pihak terbabit untuk bekerjasama terutama dalam membantu mangsa terlibat, namun sehingga hari ini mereka berdiam diri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikatnya akan tetap membantu mangsa yang terbabit dengan kemalangan itu terutamanya dalam mendapatkan pampasan insurans daripada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.

"Saya minta kepada mana-mana mangsa yang terlibat supaya menghubungi kami dalam tempoh seminggu (bermula hari ini) jika perlukan bantuan termasuk bantuan guaman," katanya. - BERNAMA

Kemalangan Pagoh

Artikel Lain