suria

Kayamboo Ikrar Berkhidmat Kepada Negara Hingga Akhir Hayat

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mendiang Mejar C. Kayamboo, 45, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di pangkalan TUDM Butterworth petang Rabu. -fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia dalam nahas pesawat berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth Mejar C. Kayamboo, 45, telah berikrar untuk berkhidmat kepada negara sehingga akhir hayat.

R.Nathan, 43, berkata mendiang yang merupakan rakan baiknya pernah memberitahu bahawa beliau sanggup mati untuk negara.

"Saya bangga menjadi rakannya dan saya akan merinduinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis urusan pengebumian Kayamboo di Sungai Nibong di sini, Khamis.

Nathan kelihatan sebak ketika persiapan akhir untuk majlis pengkebumian mendiang Kayamboo oleh TUDM di tanah perkuburan Batu Lanchang, di sini pada 3 petang nanti.

"Kami sudah berkawan sejak kecil. Mendiang memberitahu saya, beliau tidak mahu bersara daripada TUDM kerana menghampiri usia berpencen dan saya  seolah-olah tidak percaya bahawa beliau sudah tiada," katanya.

Sebelum menyertai Tentera Udara, Kayamboo memohon untuk menyertai Malaysia Airlines (MAS) dan Singapore Airlines (SIA) tetapi gagal kerana tidak menepati syarat ketinggian yang ditetapkan.

Dalam kejadian pada 5.18 petang semalam, pesawat Beechcraft, B200T yang diterbangkan Kayamboo terhempas di Pangkalan Tentera Udara Butterworth dan turut mencederakan tiga yang lain.

Dua mangsa yang cedera telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang lewat malam tadi dan kini diletakkan di bawah unit kritikal manakala seorang lagi  sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Kayamboo meninggalkan isteri S.Usha dan empat anak, K.Indran, 12, K.Vashini, 11, K.Sanvendran, 7, dan K.Maitrashini, 2.

akhir hayat, TUDM, C. Kayamboo

Artikel Lain