suria

Pemulihan Bekalan Air Lebih Awal Dari Jangkaan - Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM: Pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas akibat kerja penyelenggaraan pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor, berjaya dilaksanakan Air Selangor dalam tempoh tiga hari berbanding jangkaan enam hari sebelum ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berdasarkan laporan yang diterima setakat 7 pagi Khamis, status pemulihan bekalan air ke semua kawasan yang terlibat selesai 100 peratus bagi zon 1 dan 99.5 peratus bagi zon 2.

"Saya merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor yang berusaha gigih sepanjang waktu menyegerakan pemulihan bekalan air ke semua kawasan terjejas dengan pantas.

"Keselesaan pengguna air adalah keutamaan kerajaan negeri khususnya sewaktu musim perayaan dan cuti sekolah," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Mohamed Azmin dalam pada itu berkata kerajaan negeri tetap akan terus memantau keadaan bagi memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi untuk pengguna di Lembah Klang.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan berkata bekalan air di hampir semua kawasan yang terganggu akibat kerja penyelenggaraan itu telah pulih kecuali di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka Sari, Klang, setakat 7 pagi Khamis.

Menurutnya, semua kawasan di zon 1 dan zon 2 Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat telah mencapai status pemulihan 100 peratus kecuali zon 2 Klang sebanyak 96 peratus.

"Segala usaha sedang ditumpukan untuk memulihkan bekalan air di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka Sari di Klang. Bagi dua kawasan ini, pemulihan sepenuhnya dijangkakan menjelang lewat petang ini," menurut kenyataan itu.

Artikel Lain