suria

Najib Buka Laluan Selesai Krisis Rohingya - Musa Hitam

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik keras kekejaman dilakukan terhadap etnik Rohingya telah membuka laluan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu itu.

Musa berkata kerajaan Myanmar baru-baru ini telah mengundang menteri-menteri luar ASEAN untuk mengadakan dialog untuk membincangkan isu tersebut.

"Ini ialah satu pembukaan kecil, pembukaan yang amat kecil untuk dialog di dalam konsep ASEAN.

"Kalau dulu berdasarkan prinsip tiada campur tangan, ASEAN tidak akan sentuh langsung (mengenai isu dalaman negara lain), tetapi kini nampaknya kerajaan Myanmar menjemput untuk berbincang dengan negara ASEAN," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri forum 'Frankly Speaking a Recension Tun Musa Hitam' di Gombak dekat sini, Selasa.

Musa bagaimanapun tidak pasti bagaimana ASEAN dapat mengenal pasti penyelesaian berhubung isu itu yang disifatkannya sebagai rumit, namun beliau menekankan bahawa keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan.

Pada Isnin, Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN berlangsung di Yangon dengan Datuk Seri Anifah Aman yang mewakili Malaysia mengemukakan beberapa cadangan, termasuk keperluan bagi ASEAN menubuhkan badan pakar bebas untuk menyiasat serta menentu sahkan situasi di Rakhine.

Forum 'Frankly Speaking a Recension Tun Musa Hitam' anjuran Pusat Media Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu diadakan bagi merungkai kandungan-kandungan di dalam buku 'Frankly Speaking' yang ditulis Musa, yang diterbitkan beberapa bulan lalu.

Forum itu dikendalikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Seri Azman Ujang dengan penalis terdiri daripada Pengurus Kumpulan Editor NST Datuk Abdul Jalil Hamid, Editor Kanan Sin Chew Daily Tay Tian Yan dan Pensyarah Jabatan Sains Politik UIAM Dr Khairil Izamin Ahmad. - BERNAMA

Najib Razak, Musa Hitam, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain