suria

Dua Ditahan Berkaitan Kes Bunuh Pelajar Kolej

Yaacob maut di tempat kejadian dengan kesan tikaman di leher dan dahi.

KOTA KINABALU: Polis menahan dua suspek utama berkaitan kes pembunuhan seorang pelajar kolej berusia 18 tahun di luar sebuah bar di Asia City di sini selepas insiden pergaduhan, pagi Khamis.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 23 dan 26 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan Bukit Padang, Luyang kira-kira pukul 9 pagi Khamis selepas melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, empat individu yang bekerja di bar tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, dua mangsa cedera yang berusia 18 tahun, menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Menurut laporan, hasrat lapan lelaki untuk berhibur akhirnya bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati ditikam di luar sebuah bar di Jalan Coastal di sini.

Yaacob Nasran ditemui mati dengan kesan tikaman di leher dan dahi manakala tiga yang lain cedera dalam kejadian pada pagi Khamis.

Menurut polis pergaduhan itu mungkin berpunca daripada perasaan cemburu oleh bekas suami kepada seorang pelayan yang bekerja di bar.

Siasatan awal mendapati bahawa ketika ingin meninggalkan bar, mereka terperangkap di tengah-tengah pergaduhan antara suspek dan bekas isterinya.

Beliau berkata, suspek dan seorang saudaranya kemudian secara tiba-tiba mula menyerang kumpulan berkenaan.

"Dia kemudian mengambil parang dan mengayunkannya ke arah kumpulan belia itu hingga membunuh seorang daripada mereka di tempat kejadian," kata Chandra.

kes bunuh, pelajar kolej

Artikel Lain