suria

Bekas CEO Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Pengubahan Wang Haram

Rizam Sahar menutup mukanya dengan jaket ketika polis mengiringinya ke bilik perbicaraan di Mahkamah Sesyen di Johor Baru pada 15 Disember 2016.

JOHOR BARU: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pasir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap dua pertuduhan, iaitu memindahkan wang yang diperoleh daripada aktiviti haram dan penyalahgunaan dana.

Menerusi pertuduhan pertama, tertuduh Rizam Sahar, 36, didakwa telah memindahkan sejumlah RM105,000 yang diperoleh daripada aktiviti haram antara 29 Disember 2014 dan 2 Februari 2015 di sebuah bank di Jalan Raya, Taman Tiram Baru di sini.

Dia dikatakan memindahkan wang melalui akaun di bawah namanya dengan menggunakan dua cek yang didepositkan ke akaun lain milik RS Star Contractors and Construction Sdn Bhd.

Rizam didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, dan boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah yang terlibat atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Dalam pertuduhan kedua, Rizam didakwa menyalahgunakan lebih RM1.2 juta royalti bagi pengeluaran pasir milik Syarikat Dinamik Gabungan Wilayah JB Sdn Bhd melalui akaun bank di bawah namanya.

Dia dikatakan telah melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara November 2014 dan Mac 2015.

Di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Rizam boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan atau lebih daripada lima tahun, dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Rizam mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mohd Fauzi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebelum menetapkan 1 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Khazrin Hafiz Halil bertindak sebagai pendakwa kes itu, manakala peguam R. Subash mewakili Rizam.

SPRM, Rizam Sahar

Artikel Sebelum

Artikel Lain