suria

Malaysia Yakin Hubungan Dengan AS Kekal Kukuh

Donald Trump.

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar berpandangan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang bakal diterajui Donald Trump, tidak akan mengambil langkah-langkah regresif berkaitan dasar luar negara berkenaan, termasuk hubungannya dengan negara-negara Islam.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementerian itu berpandangan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan AS akan kekal kukuh pada masa depan.

"Hubungan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara terbina atas dasar saling hormat-menghormati di antara satu sama lain dan berdasarkan kerjasama erat di antara kedua-dua negara di dalam pelbagai bidang kepentingan termasuk pertukaran lawatan, dialog, perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, pendidikan, pertanian, sains dan teknologi serta peningkatan hubungan antara rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara, Rabu.

Malah, katanya, peningkatan hubungan dua hala dengan AS ke tahap perkongsian komprehensif pada tahun 2014 di dalam pelbagai bidang kerjasama telah memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia akan bekerjasama dengan pentadbiran baharu AS bagi memastikan kesinambungan kepentingan kedua-dua negara.

Trump, wakil Parti Republikan telah memenangi pilihan raya Presiden AS yang berlangsung pada 8 November lepas.

Beliau memperoleh sejumlah 306 undi elektoral dan menewaskan Hillary Clinton daripada Parti Demokrat.

Pada masa ini, proses peralihan pentadbiran masih berlangsung dengan pemilihan ahli-ahli Kabinet dan Trump hanya akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 pada 20 Januari 2017. - Bernama


Malaysia-AS, Donald Trump

Artikel Sebelum

Artikel Lain