suria

Pemandu Di Malaysia Masil Amal Pemanduan Berbahaya - Bomba

- Gambar hiasan
MARANG: Cara pemanduan yang berbahaya, had muatan kenderaan yang berlebihan dan tidak mematuhi had laju dikesan menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan maut di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata walaupun pelbagai usaha dan kempen keselamatan diadakan, cara itu terbukti kurang memberi kesan terhadap pengguna jalan raya untuk mengamalkan pemanduan berhemah.

"Pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) malah pemilik konsesi lebuh raya juga telah melakukan pelbagai usaha termasuk menjalankan penyelenggaraan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Namun kemalangan maut tetap berlaku. Kami di JBPM akan terus ke kawasan kemalangan dalam masa 10 minit menerima panggilan kecemasan untuk membantu mengeluarkan mangsa yang maut.

"Justeru kita berharap masyarakat khususnya para pemandu di negara ini agar sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah, pastikan had laju dipatuhi dan had muatan kenderaan tidak melebihi daripada yang dibenarkan bagi mengelak kemalangan maut terus berlaku di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2016 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Soiman mengulas punca kemalangan maut yang sering berlaku di jalan raya di negara ini termasuk kes terbaharu yang menyebabkan enam sekeluarga maut dalam satu kemalangan jalan raya di susur keluar Plaza Tol Chukai, Lebuhraya Pantai Timur 2, Kemaman, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Soiman berkata walaupun situasi kewangan negara sedikit terjejas akibat kelembapan ekonomi dunia, namun ia tidak menjejaskan pengambilan pelatih-pelatih baharu bagi menyertai pasukan penyelamat berkenaan.

Malah katanya seramai 350 pegawai dan anggota JBPM diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan di 17 buah balai bomba baharu tahun depan.

Pada majlis berkenaan seramai 60 pegawai bomba iaitu 56 pegawai JBPM dan empat pegawai bomba dari Johor Port Berhad menerima pentauliahan selepas mengikuti kursus selama empat bulan di akademi berkenaan.

Alif Hakimie Shakdun, 22, berasal dari Taiping, Perak menerima Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, manakala pelatih dari Kedah, Mohd Ibnu 'Arid Ishak, 20, menerima Anugerah Pelatih Praktikal Terbaik dan Azani Ibrahim, 29, yang berasal dari Kelantan menerima Anugerah Pelatih Teori Terbaik pada kursus tersebut.

Artikel Lain