suria

Kumpulan Pemancing, Tiga Kru Yang Dilapor Hilang Ditemui Selamat

KOTA KINABALU: Seramai sembilan pemancing bersama tiga kru yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan di perairan Pulau Mantanani, ditemui selamat pukul 10.30 malam Isnin.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat menemui mereka kira-kira empat batu nautika timur laut dari lokasi terakhir bot itu dilaporkan hilang iaitu di 21 nautika barat laut Pulau Mantanani.

"Bot pancing itu kini sedang ditunda oleh kapal KD Paus dan dijangka tiba di jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira pukul 10.30 malam ini," kata kenyataan itu.

APMM menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.18 petang semalam, sebelum mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 9 malam.

Bot pancing itu yang bertolak pada Sabtu lepas sepatutnya pulang pukul 2 petang semalam, namun kira-kira pukul 3.07 petang Ahad lepas pemilik bot menerima panggilan daripada kapten bot itu yang memaklumkan bahawa 'kotak gear' bot memancing itu mengalami kerosakan serta gagal dikesan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain