suria

HSR: Malaysia, Singapura Tidak Kompromi Keselamatan Sempadan

Najib bersama Hsien Loong semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Singapura itu bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ketujuh di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia dan Singapura tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan sempadan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura telah memperoleh cara untuk mencari keseimbangan bagi menjadi mesra penumpang tanpa menjejaskan keselamatan HSR.

"Kami telah memperoleh penyelesaian yang sewajarnya. Tiga pusat kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) bersama akan diwujudkan. Kesemuanya akan memantau pergerakan orang ramai.

"Kami percaya ini merupakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan. Ia mesra penumpang dan pada masa sama tidak ada kompromi dalam aspek keselamatan. Saya rasa kami telah memperoleh keseimbangan yang tepat antara kedua-duanya," katanya pada sidang media bersama dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di sini Selasa.

Terdahulu, Najib dan Lee mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat delegasi bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-7 di sini, Selasa.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian HSR Kuala Lumpur-Singapura bersempena pemukiman itu.

Landasan kereta api sepanjang 350km itu, keseluruhannya mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Ia akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit berbanding tiga jam sekarang.

Sementara itu, Lee berkata terdapat keperluan untuk memastikan sempadan Malaysia-Singapura selamat dan terjamin.

"Beratus-ratus ribu orang menyeberang sempadan setiap hari. Ia adalah sempadan antarabangsa yang paling sibuk di dunia.

"Tidak perlu menutup sempadan Malaysia-Singapura berikutan masalah keselamatan. Kita perlu menangani masalah itu dengan kerjasama erat agensi dari kedua-dua belah pihak.

"Kita perlukannya untuk HSR dan Sistem Transit Rapid (RTS). Kami akan berusaha untuk menjayakannya," katanya.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia dan Singapura bersetuju untuk bekerjasama rapat bagi memastikan bekalan air yang banyak dan cukup dari Sungai Johor seperti yang terkandung dalam Perjanjian Air 1962.

"Perubahan iklim telah menjejaskan bekalan air. Bagaimanapun, empangan rendah Sungai Johor yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang Mac tahun depan akan memastikan bekalan air yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata Malaysia dan Singapura juga membincangkan usaha memperkukuhkan lagi kerjasama memerangi keganasan di rantau ini.

Najib berkata beliau turut memperjelaskan kepada Lee tentang penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar dan menegaskan bahawa ASEAN mesti terus menjadi komuniti bagi negara berkenaan dan percaya kepada nilai teras yang ASEAN perlu pertahankan. - BERNAMA

HSR, keselamatan sempadan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain