suria

Kedai Melayu, Sambut Krismas

Mohd Jaya memeriksa hiasan di kedainya yang dilakukan sempena sambutan Hari Krismas.
KUCHING: Salah sebuah kedai Melayu tertua di bandar ini sentiasa dihias cantik menjelang musim perayaan, dan sambutan Krismas tidak terkecuali.

Terkini, Kedai Runcit Abdul Wahet yang terletak di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini dihiasi dengan perhiasan dan barangan berkonsepkan Hari Natal.

Bagi Mohd Jaya yang mengendalikan kedai ini bersama keluarganya, apa yang dilakukannya ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk meraikan keharmonian pelbagai budaya di negeri Sarawak.


"Di Sarawak, kami gembira meraikannya bersama-sama, tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun.

"Pada hari Krismas, saya akan bertukar-tukar hadiah dengan rakan-rakan beragama Kristian, begitu juga mereka yang akan menyambut Hari Raya bersama saya," katanya.

Mohd Jaya yang telah menjadikan tradisi menghias kedai menjelang setiap perayaan utama sejak enam tahun lalu berkata beliau mahu meneruskan amalan ini pada tahun-tahun akan datang.

"Setiap tahun, saya cuba untuk memperbaiki hiasan. Kali ini, hiasannya agak ringkas kerana harga barang semakin mahal," katanya.

Walaupun idea hiasan Mohd Jaya lebih tertumpu di bahagian hadapan kedai, beliau mahu mencuba sesuatu yang berbeza pada Krismas akan datang.

"Kalau ada bajet, saya mahu buat sesuatu yang berbeza setiap tahun," katanya, sambil menambah pelanggannya juga tidak sabar menunggu hiasan kedainya setiap kali menjelangnya musim perayaan.

Kedai itu, yang telah wujud sejak awal 1900-an, menjual rempah-ratus, pes kari dan beberapa makanan terkenal Sarawak seperti kek lapis, kuih cincin dan kuih jala.


"Kami sekarang mendapat pesanan kek lapis dan biskut untuk Krismas. Saya fikir mahu buat kek lapis lobak merah sempena Krismas dengan warna hijau, merah dan kuning," kata Mohd Jaya.

Artikel Berikut

Artikel Lain