suria

Tapak Maha Akan Dijadikan Pusat Agropelancongan - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri) melihat lembu hibrid sado digelar Kukeh ketika lawatannya ke laman penternakan pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2016

SERDANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) di sini dijadikan pusat agropelancongan bagi mempromosi produk pertanian di dalam dan luar negara.

Ketika berucap menutup Maha 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini pada Ahad, Ahmad Zahid berkata beliau mahu tapak pameran pertanian itu 'terus hidup' dan bukan hanya dua tahun sekali apabila Maha diadakan.

Berikutan cadangan itu, beliau berhasrat menjadi pengerusi penyelaras kepada usaha promosi tapak Maha sebagai tapak yang terus hidup dan digunakan untuk aktiviti-aktiviti promosi pertanian.

"Kita dapat lihat kejayaan Maha daripada sebuah tapak kecil menjadi sebuah medan pertanian hari ini. Saya harap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) kreatif jadikan tapak Maha sebagai agropelancongan," katanya.

Maha 2016 bertemakan 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang berlangsung sejak 1 Dis di Maeps berakhir hari ini.

Dengan menjadikan Maha sebagai pusat agropelancongan, Ahmad Zahid berkata apabila Transformasi Nasional 2050 (TN50) dilancarkan pada 2050, Malaysia yang dijangka mempunyai kira-kira 50 juta penduduk tidak perlu mengimport makanan dari negara luar.

"Kita akan mempunyai makanan yang cukup untuk kegunaan tempatan, boleh dieksport ke luar negara dengan kualiti dan teknologi yang terbaik," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau kagum dengan bilangan pengunjung yang hadir ke Maha 2016 yang memecah rekod jumlah teramai dalam penganjuran pameran pertanian terbesar itu setakat ini.

"Inilah Maha paling ramai pengunjung, paling banyak jualan, paling kreatif dan paling banyak publisiti," katanya.

Beliau juga menyeru para usahawan dan peniaga supaya memberikan diskaun sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus kepada pengunjung sempena hari terakhir Maha 2016 yang disambut dengan tepukan gemuruh para pengunjung.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang tiba di tapak Maha pada pukul 9.30 pagi membuat tinjauan di Bazaar Industri Asas Tani (IAT), NAFAS Cube, Pameran Lembu Hibrid Sado, Rumah Perak dan Rumah Sarawak. 

Beliau kemudian meluangkan masa selama kira-kira setengah jam menikmati makan tengah hari di Empayar Makanan.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan hadiah kepada pengunjung ke 3.5 juta Maha 2016 iaitu Mohd Asim Omar yang memenangi sebuah motosikal Modenas sumbangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nahas).

Pekerja katering berusia 22 tahun itu yang pertama kali berkunjung ke Maha, berhasrat menghantar motosikal dimenanginya itu ke Sarawak untuk kegunaan keluarganya di sana.

Ahmad Zahid turut menyampaikan hadiah pertandingan rumah negeri terbaik Maha 2016 yang dimenangi oleh Rumah Perak, diikuti Rumah Terengganu di tempat kedua manakala ketiga dimenangi Rumah Kelantan.

Artikel Berikut

Artikel Lain