suria

Perajurit Muda Diingatkan Supaya Jaga Rahsia Negara

Tan Sri Roslan Saad

IPOH: Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru menamatkan latihan diingatkan supaya tidak sesekali membocorkan rahsia negara dan ketenteraan kepada pihak yang tidak berkepentingan.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata perajurit muda bertanggungjawab melaksanakan ikrar sumpah taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan TUDM.

Katanya sebagai seorang yang baru melangkah ke alam perkhidmatan, perajurit muda perlu sentiasa memelihara disiplin diri, imej dan maruah TUDM dengan mengelak daripada melanggar etika serta peraturan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara.

"Pihak pengurusan TUDM tidak akan berkompromi dengan semua peringkat anggotanya yang melanggar tatatertib dan disiplin perundangan perkhidmatan serta undang-undang sivil," katanya ketika berucap pada majlis tamat latihan perajurit muda TUDM Siri 55/2016 di Padang Kawad Institut Latihan Udara di sini, Ahad.

Pada majlis itu, seramai 377 perajurit muda berjaya menamatkan latihan asas selama 24 minggu yang dibahagikan kepada tiga fasa iaitu latihan asas ketenteraan, akademik serta praktikal dan pembentukan sahsiah.

Selain itu, Roslan mengingatkan perajurit muda agar sentiasa menambah serta meningkatkan ilmu pengetahuan selari dengan perkembangan semasa dan bukannya selesa dengan apa yang dimiliki.

"Hanya dengan ilmu pengetahuan dan sikap yang betul kita dapat terus maju dan menjadikan TUDM angkatan yang berteknologi tinggi, unggul dan dihormati," katanya.

Pada majlis itu Mohamad Hazipi Zolkipli, 23, dari Kelantan dinobat sebagai perajurit terbaik keseluruhan, manakala Meor Ahmad Fariz Tupandi, 22, dari Sabah dan Noor Subhie Noor Indar, 22, dari Terengganu masing-masing dinamakan sebagai perajurit muda akademi terbaik serta perajurit muda penembak terbaik. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain