suria

'Petani' Berlari Beri Semangat Kepada Peserta Pineapple Charity Run

SERDANG: Empat sahabat baik memutuskan untuk berpakaian seperti petani bagi memberi motivasi dan menceriakan peserta 'Pineapple Charity Run' yang diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2016, Ahad.

Norddin Ahmad Ahmet, 30, berkata beliau dan rakan-rakannya hanya merancang dua hari lalu untuk berpakaian seperti petani dengan mengenakan topi jerami, sarung tangan dan membawa penyodok.

"Walaupun jarak larian hanya 6.5 kilometer dan kami tidak mengenali peserta lain, kami merasakan ada keperluan bagi meningkatkan semangat mereka untuk menghabiskan larian.

"Kami mendekati peserta yang kelihatan letih dan hampir-hampir berputus asa agar mereka meneruskan larian. Kami sentiasa di sisi mereka memberikan motivasi untuk ke garisan penamat, ia agak meletihkan tetapi sangat menyeronokkan," katanya kepada Bernama selepas selesai larian itu di sini.

Acara larian itu disertai 500 peserta daripada pelbagai peringkat umur meliputi jarak 6.5 kilometer di sekitar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) yang dilepaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery yang tiba seawal 7.10 pagi untuk bertemu dan memberikan kata-kata motivasi kepada peserta turut menyertai sesi senam aerobik. Peserta turut tidak melepaskan peluang berswafoto dengan beliau.

Selain cabutan bertuah, peserta turut menyertai Zumba sebelum menikmati sarapan dan kopi nanas sebelum memulakan larian.

Maha 2016 dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' yang bermula sejak 1 Dis lalu akan melabuhkan tirainya hari ini.

Artikel Lain