suria

Banjir: Tiga Pusat Pemindahan Dibuka Di Perak, 173 Penduduk Terjejas

IPOH: Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka di seluruh Perak berikutan banjir kesan daripada musim tengkujuh dan monsun timur laut ketika ini, demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata sehingga pukul 1.30 pagi tadi, seramai 173 penduduk dari dua daerah ditempatkan di tiga pusat pemindahan berkenaan.

Di daerah Manjung, dua pusat pemindahan dibuka iaitu di dewan orang ramai Simpang Tiga yang menempatkan 76 orang, manakala 73 lagi berada di Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Kampung yang terjejas di Manjung adalah Kampung Serapoh, Kampung Simpang 3 dan Kampung Padang Serai dengan paras air banjir setinggi 0.15 meter hingga 0.2 meter.

"Di daerah Kuala Kangsar seramai 24 orang ditempatkan di dewan Kampung Setor selepas air banjir mencecah satu kaki," demikian menurut kenyataan itu di sini.

Sementara itu, pihak bomba sedang memantau banjir kilat di Kampung Gabis, Padang Rengas selepas air naik setinggi empat kaki yang menjejaskan 10 rumah akibat hujan lebat tanpa henti. 

Artikel Lain