suria

Pertemuan Dengan Muhyiddin Bukan Agenda Politik - Pejabat Raja Perlis

Muhyiddin Yassin.

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerima mengadap bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Arau pada Jumaat lepas atas dasar kenalan lama. 

Pertemuan itu tiada hubungkait dengan sebarang urusan parti politik negara, demikian menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit Kanan baginda di sini, Ahad.

"Sebagai pemerintah negeri Perlis, baginda tidak mencampuri urusan tentang sebarang fahaman politik. 

"Pada pertemuan itu baginda turut berkenan menunaikan hasrat rombongan beliau (Muhyiddin) untuk bergambar di luar bilik mengadap sebelum mereka meninggalkan majlis," kata kenyataan itu. 

Kenyataan tersebut dibuat ekoran gambar berkenaan telah dimuat naik di laman sosial facebook sebuah parti politik dengan kapsyen "Antara Raja yang mendokong perjuangan kita". 

Bagaimanapun, gambar tersebut kemudiannya dipadam dari laman facebook itu.   

Terdahulu, pada Jumaat itu, Muhyiddin bersama rombongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan lawatan dan ceramah kepimpinan di Perlis. - Bernama

Muhyiddin Yassin

Artikel Sebelum

Artikel Lain