suria

MRT Sasar 160,000 Kereta Kurang Di Jalan Raya

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) menjangkakan pengurangan kira-kira 160,000 buah kereta di jalan raya di Lembah Klang bila perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) beroperasi sepenuhnya Julai depan.  

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Stakeholder, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, beliau optimistik dengan pengurangan kenderaan memasuki bandar raya memandangkan perkhidmatan itu dijangka mengangkut 400,000 penumpang setiap hari. 

Najmuddin memberitahu Bernama di sini, kebanyakan stesen akan terletak di lokasi strategik di kawasan perumahan padat demi memenuhi keperluan orang ramai untuk berulang alik ke bandar raya. 

Kawasan itu termasuk Kwasa Damansara, Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Semantan, Bukit Dukung, Batu Sebelas Cheras, Bandar Tun Hussein Onn, dan Taman Suntex.  

Sebelum ini, kawasan-kawasan itu tidak pernah mendapat perkhidmatan rel bandar. 

Setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang, pada kekerapan setiap 3.5 minit. 

Bagi kemudahan parkir, terdapat sejumlah 14 tempat letak kereta bertingkat dan terbuka mengandungi 8,000 petak di stesen-stesen sepanjang 51km laluan SBK.

"Ini memberi impak signifikan dalam mengurangkan kesesakan trafik hari ini, di samping penumpang berpendapatan rendah dan pertengahan akan mendapat manfaat besar dari perkhidmatan ini. 

"Ini kerana mereka boleh mengelakkan belanja bila menggunakan kereta, kenaikan harga minyak, kadar tol, bayaran parkir yang tinggi di pusat bandar dan pelbagai lagi," kata beliau. 

Katanya, tambang perkhimdatan MRT SBK adalah dalam kemampuan setiap orang antara RM1 hingga RM6.40 berdasarkan jarak perjalanan.  

Projek MRT SBK bernilai RM23 bilion itu yang meliputi jarak 51 kilometer dengan 31 stesen adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Fasa 1 MRT SBK ini dijangka beroperasi mulai 16 Disember, meliputi 12 stesen antara Sungai Buloh dan Semantan.  

Fasa 2 meliputi baki 19 stesen antara Semantan dan Kajang dan dijadual beroperasi Julai depan.  

Perkhidmatan ini dijangka memberi faedah besar kepada penduduk Lembah Klang menerusi perjalanan lebih pantas, produktiviti lebih baik, peningkatan nilai harta berdekatan stesen, di samping mobiliti yang bertambah baik. - Bernama

MRT

Artikel Sebelum

Artikel Lain