suria

Mercy Malaysia Berjaya Masuk Ke Gaza

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) pada Sabtu berjaya memasuki Gaza, Palestin, melalui sempadan Rafah di Mesir bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan di wilayah itu.

Menurut persatuan bantuan sukarelawan itu, misi kali ini merupakan misi kemanusiaan pertama yang dibenarkan masuk melalui sempadan Rafah sejak lawatan kerja Mercy Malaysia yang terakhir pada tahun 2014.

"Antara program yang akan dilakukan oleh Mercy Malaysia termasuklah menyampaikan bantuan makanan serta kelengkapan keluarga bagi musim sejuk, mengadakan bengkel 'Hospital Berdaya Tahan' di Universiti Islam Gaza serta mengadakan program psikososial bagi masyarakat," kata persatuan itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Mercy Malaysia juga akan melancarkan Bangunan Al Amal Centre iaitu sebuah pusat psikososial serta sekolah kanak-kanak kurang upaya dan makmal baharu Fakulti Perubatan Universiti Islam Gaza sumbangan persatuan itu yang masing-masing bernilai US$200,000.

Misi bantuan kemanusiaan kali ini diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan disertai oleh dua orang pegawai kedutaan serta Pengarah Pembangunan Program dan Operasi Mercy Malaysia Norazam Ab Samah.

Mercy Malaysia telah berjaya menyalurkan sebanyak US$18 juta ke Gaza sejak tahun 2008, yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

Pada Julai 2014, Tentera Israel melancarkan operasi 'Protective Edge' secara besar-besaran di Genting Gaza dengan menyasarkan serangan terhadap kediaman awam, sekolah-sekolah dan kedai-kedai rakyat Palestin yang mengakibatkan ramai orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa. - BERNAMA

Mercy Malaysia, Gaza

Artikel Lain