suria

Pihak Pertikai Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tidak Faham - MB

Azlan Man.

PADANG BESAR: Pihak yang mempersoal mengenai Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis adalah kerana mereka tidak faham tentang isu berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menegaskan RUU berkenaan cuma berkisar tentang menyelaras versi bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris daripada ibu dan bapa kepada ibu atau bapa memberi izin kepada anak yang belum mencapai umur 18 tahun memeluk Islam.

"Sepanjang sidang DUN berjalan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Dis lepas, semuanya lancar dan tiada apa yang perlu dibangkitkan lagi. Mana-mana pihak yang membangkitkan perkara itu (RUU) adalah kerana mereka tidak faham. Itu saja halnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gema Kasih@Komuniti Peringkat Negeri di Dewan Felda Chuping di sini Sabtu.

Azlan mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menerusi laporan akhbar dalam talian berbahasa Inggeris pada Jumaat.

Liow mendakwa kerajaan negeri Perlis melakukan 'sabotaj' bila DUN itu meluluskan pindaan tersebut.

Sementara itu, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menafikan beliau ada membuat sebarang kenyataan kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 itu.

Mohd Asri berkata kenyataan yang kononnya dibuat oleh beliau disiarkan oleh akhbar itu pada Sabtu.

Beliau yang sedang berada di Melbourne, Australia berkata akhbar itu membuat laporan yang bohong.

"Saya memberitahu semalam dalam catatan di laman Facebook rasmi saya bahawa saya tidak mempunyai maklumat tentang isu (RUU) yang dibangkitkan kerana masih di luar negara.

"Akhbar itu telah melaporkan berita menyebut kenyataan dari saya sedangkan tidak mendapatkan kenyataan secara langsung walau sepatah pun berkenaan hal itu, katanya dalam satu kenyataan di Kangar pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man turut melahirkan rasa kecewa terhadap laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mendakwa kerajaan negeri menentang dasar kerajaan pusat berhubung RUU berkenaan. - BERNAMA

tukar agama, Perlis

Artikel Berikut

Artikel Lain