suria

Kementerian Kesihatan Sasar Sifar Kes HIV/AIDS Menjelang 2030

Dr Subramaniam melihat Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Sim Kui Hian menandatangi poster bagi menyokong usaha ke arah sifar HIV/AIDS menjelang 2030.

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan untuk mencapai sifar kes HIV/AIDS menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata tahun berkenaan juga menjadi sasaran untuk mencapai sifar kes HIV/AIDS di peringkat dunia.

"Sama ada dunia mencapai sasaran sifar atau tidak tetapi kita (Malaysia) mahu mencapai objektif itu," katanya ketika merasmikan Hari AIDS Sedunia 2016 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata komitmen dan kolaborasi pelbagai pihak dalam pencegahan dan kawalan HIV/AIDS amat diperlukan untuk memerangi HIV/AIDS. 

Bercakap kepada media selepas itu, beliau berkata walaupun kes HIV/AIDS di negara ini menunjukkan trend menurun, namun apa yang membimbangkan ialah 78 peratus daripada kes-kes baharu berpunca daripada perhubungan seks bebas dan tidak terkawal.

"Transmisi utama jangkitan HIV di Malaysia secara amnya telah menunjukkan perubahan, bermula pada tahun 2010 daripada transmisi akibat penagihan dadah suntikan kepada transmisi secara seksual.

Pada 2015 sebanyak 78.1 peratus jangkitan baru HIV adalah melalui transmisi seksual, manakala 17 peratus adalah melalui penagihan dadah (menerusi) suntikan," katanya.

Katanya, ia disebabkan tingkah laku individu yang seharusnya perlu lebih bertanggungjawab dengan mengelakkan hubungan seks di luar nikah dan mengamalkan kaedah perlindungan semasa melakukan hubungan seks termasuk penggunakan kondom.

Beliau berkata sekiranya langkah-langkah ini dapat diamalkan maka risiko penularan jangkitan HIV/AIDS akan dapat dikawal, sekali gus membolehkan semua usaha yang dibuat kerajaan mencapai kejayaan.

"Inilah harapan kerajaan dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak NGO (badan bukan kerajaan) yang bekerjasama dengan kita (kementerian) dalam agenda menghapuskan AIDS dan kerjasama itu melalui aktiviti di peringkat akar umbi adalah sangat besar maknanya," katanya.

Dalam ucapannya Subramaniam turut berkata pada keseluruhannya jangkitan HIV/AIDS di seluruh dunia telah mencatatkan penurunan sebanyak 35 peratus sejak tahun 2000 sementara kematian akibat AIDS menurun sebanyak 42 peratus sejak tahun 2004.

"Senario epidemik AIDS di Malaysia juga menunjukkan trend yang menyerupai senario epidemik AIDS dunia apabila data menunjukkan bahawa jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia pada tahun 2015 telah mencatatkan penurunan sebanyak 52 peratus berbanding tahun 2002, katanya.

Katanya, kematian akibat AIDS pada tahun 2015 juga telah mencatatkan penurunan sebanyak 22 peratus berbanding tahun 2002.

Beliau berkata, pada akhir tahun 2015, kadar notifikasi kes baru HIV adalah 10.9 bagi 100,000 penduduk dan dijangka akan terus menunjukkan penurunan dengan jangkaan kadar 10.7 bagi 100,000 penduduk berakhir Disember 2016.

Subramaniam berkata kerajaan akan terus menerajui usaha menangani HIV/AIDS dan menjadi penyumbang dana terbesar untuk membiayai pelaksanaan program pencegahan dan kawalan.

Katanya pada tahun 2015 sahaja sebanyak RM202.1 juta telah dibelanjakan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan dan sebanyak 95 peratus perbelanjaan dibiayai oleh kerajaan, manakala baki sebanyak empat peratus disumbang oleh dana antarabangsa dan satu peratus lagi adalah sumbangan badan korporat.--Bernama


HIV/AIDS, Kementerian Kesihatan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain