suria

Peniaga Bebas Tuduhan Rogol Remaja

KUALA KANGSAR: Seorang peniaga dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merogol remaja perempuan berusia 17 tahun dua tahun lalu, oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hakim Niran Tan Kran membebaskan Mohammad Shariff Saad, 37, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie selepas meneliti dan menimbangkan keterangan saksi, bukti serta hujahan sepanjang perbicaraan.

"Saya telah meneliti keterangan serta perilaku pengadu sepanjang perbicaraan dan mendapati keterangan pengadu tidak konsisten, tidak boleh dipercayai serta wujud percanggahan material.

"Saya dengan ini melepaskan dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil untuk membela diri," katanya di akhir kes pendakwaan.

Mohammad Shariff dituduh merogol remaja itu, di kawasan kebun kelapa sawit di Lempor dekat Manong, pada 9.30 malam, 5 Ogos 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Halim. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain