suria

PRU14: Perak Tumpu Kawasan Menang PRU13

Zambry Abd Kadir.

LUMUT: Dalam usaha memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang, Barisan Nasional (BN) Perak akan memberi tumpuan penuh kepada kawasan-kawasan yang dimenanginya semasa PRU ke-13.

Selain itu, BN Negeri akan berusaha menawan kerusi-kerusi lawan untuk memastikan BN terus berkuasa di Perak, kata pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

"Kesemua 59 kawasan di Perak perlu diberi perhatian namun, sudah semestinya kita akan memberi perhatian kepada kawasan yang dimenangi semasa PRU13," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan program Kembali Ke Sekolah 2017 di sini, Isnin.

Pada majlis itu, seramai 600 pelajar sekolah menengah dan rendah dari sekitar Lumut menerima bantuan persekolahan sumbangan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Terdapat 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak dengan 31 daripadanya dimenangi BN, DAP (18), PKR (5) dan PAS (5).

Namun, satu daripada kerusi PAS kini disandang wakil Parti Amanah Negara.

Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata kerajaan negeri akan menggunakan acuan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen di negeri itu  dalam berdepan PRU14.

"Bukan mahu memuji diri sendiri tetapi kami diiktiraf sebagai 'war room' terbaik bagi zon utara untuk PRK," katanya sambil memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu acuan itu dikongsikan dengan negeri lain.

Najib, yang juga Presiden Umno semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2016, minggu lepas membayangkan bahawa PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

Mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018. - BERNAMA

PRU14, Dr Zambry Abd Kadir, Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain