suria

Dua Sahabat Maut Dihempap Pokok

SETIU: Mayat dua lelaki yang maut akibat dihempap pokok ekoran ribut di Bukit Layat, sempadan daerah Setiu-Kuala Terengganu, dibawa keluar ke jalan utama oleh pasukan keselamatan pada 11.30 malam Ahad.

Difahamkan, operasi membawa keluar mayat kedua-dua lelaki itu mengambil masa kira-kira tiga jam setengah berikutan jarak sejauh 15 kilometer dari lokasi mereka dihempap pokok ke jalan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Layat, Mustafa Jusoh berkata beliau menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa pada 2.30 petang Ahad, apabila mereka gagal menghubungi kedua-dua lelaki berkenaan.

Katanya rakan mangsa kemudian pergi ke lokasi tempat dua lelaki berkenaan dikatakan berkhemah dan apabila sampai di sana, kedua-dua mangsa didapati sudah pun meninggal dunia setelah khemah mereka ditimpa sebatang pokok.

Rakan mangsa kemudian meminta bantuan pasukan keselamatan untuk membawa keluar mayat kedua-dua lelaki tersebut dan 30 anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat terlibat dalam operasi berkenaan.

Kedua-dua mayat lelaki tersebut dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain