suria

Umno Perlu Henti Minta Sumpah Setia Melayu - Perwakilan Johor

KUALA LUMPUR: Orang Melayu tidak perlu rasa terhutang budi kepada Umno, demikian tegas perwakilan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Sebaliknya, beliau berkali-kali dengan lantang mengingatkan Umno supaya berterima kasih kepada orang Melayu yang memastikan parti itu terus berkuasa sejak penubuhannya 70 tahun lalu.

“Jangan sesekali kita lupa, Umno tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.

“Sudah tiba masanya untuk Umno berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada Umno. Malah sudah tiba masanya untuk Umno berhenti mengenang-ngenang apa yang telah Umno berikan kepada orang Melayu,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2016 pada Jumaat.

Teguran berapi Ayub yang merupakan pembahas pertama pada hari kedua perhimpunan parti Melayu terbesar itu ternyata berjaya mencuri tumpuan perwakilan termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Tambah Ayub, beliau akui Umno Johor sering dipandang sinis kerana dilihat berbeza dan dianggap tidak sehaluan, khususnya ketika parti itu berhadapan kontroversi dalaman hingga menyebabkan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti.

Menurut beliau, walaupuan Umno Johor berikrar untuk berkorban demi kejayaan parti itu, namun Umno perlu tampil memperbaharui tawaran untuk menentukan halatuju orang Melayu.

"Cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan. Isu sebenar orang Melayu hari ini adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21.

"Maka, bagi menjayakan usaha menginstitusikan Transformasi Radikal Agenda Melayu ini, saya ingin mencadangkan eloklah jika dibentuk kumpulan khas yang terdiri daripada individu-individu Melayu unggul,” katanya.

Jelas beliau, tawaran baharu itu perlu merangkumi beberapa agenda, antaranya membina ketahanan ekonomi orang Melayu, kesejahteraan hidup dan pendidikan berkualiti.

“Bagi menjayakannya, saya ingin mencadangkan eloklah jika dibentuk sekumpulan khas yang terdiri daripada individu-individu Melayu unggul.

“Dalam tempoh enam bulan dari sekarang misalnya, diadakan suatu mesyuarat atau perhimpunan khas Umno untuk kita membentangkan dan melancarkan Transformasi Agenda Melayu Maju ini,” katanya.
Ayub Rahmat, Umno, Johor, Melayu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ku Chin Wah Diperintah Bela Diri

Artikel Lain