suria

Penjual Daging Didakwa Khianat, Ceroboh & Cederakan Pengasuh Taska

PETALING JAYA: Seorang penjual daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh masuk sebuah taska serta mendatangkan kecederaan terhadap pengasuh taska itu yang juga teman wanitanya.

S. Saran Raj, 28, didakwa melakukan perbuatan khianat dengan cara menyebabkan kerosakan pada pintu besi taska milik Marisa Haron, 50, dan menceroboh premis itu di Mutiara Damansara, di sini pada 6 petang 29 November lalu.

Bagi kesalahan khianat, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan menceroboh, dia didakwa di bawah Seksyen 448 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga didakwa atas satu lagi kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas pengasuh di taska tersebut yang juga teman wanitanya, K. Ratika, 30, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menawarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan yang rendah kerana dia baharu sahaja memulakan perniagaan menjual daging.

Majistret Salamiah Hassan membenarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 11 Januari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

penjual daging, khianat, pencerobohan

Artikel Sebelum

PRU14 Tidak Lama Lagi - Najib

Artikel Lain