suria

Kenderaan Bertembung, Dua Maut

KUANTAN: Seorang guru dan seorang mekanik maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di KM113 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran petang Rabu.  

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Supt Mohamad NoorYusof Ali, mangsa yang maut ialah guru yang juga penumpang hadapan kereta dikenali sebagai Nurul Fadhilah Lamri, 24, dan penunggang motosikal Wong Chee Seng, 18,seorang mekanik.

"Kemalangan berlaku pada 7.15 malam ketika kenderaan yang dinaiki Nurul Fadhilah bersama empat rakannya dalam perjalanan dari Temerloh ke rumah sewa mereka di Taman Awah Permai berhenti di simpang masuk sebelum tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dipandu laju dari arah bertentangan dan merempuh bahagian pintu sebelah kiri hadapan kereta itu.

"Rempuhan yang kuat itu menyebabkan Wong tercampak ke sebelah kanan kenderaan sebelum dihempap oleh kereta sama yang terbalik akibat pelanggaran itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya mangsa kemudian dibawa keluar oleh orang awam yang membantu menterbalikkan kereta dan didapati meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami di bahagian kepala dan badan.

Katanya Nurul Fadhilah turut maut kerana tersepit akibat rempuhan berkenaan manakala empat lagi rakannya termasuk pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat serta mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

kemalangan maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain