suria

Pihak Berkuasa Sedia Masuk Kawasan Sekatan Orang Asli, Buat Tangkapan

SEKATAN ... Orang Asli yang tinggal di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang membuat sekatan di Kampung Petei, sejak 26 September lepas bagi menghalang aktiviti pembalakan di kawasan itu. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Pegawai polis dan pegawai daripada Jabatan Perhutanan telah memasuki kawasan penempatan yang dibangunkan oleh masyarakat orang Asli bagi menyekat aktiviti pembalakan di Gua Musang.

Sekatan itu dibuat dan diuruskan oleh kira-kira 200 orang Asli dari kumpulan Temiar, bulan lepas.

Difahamkan, sekatan itu mungkin akan dirobohkan hari ini oleh pihak berkuasa.

Menurut peguam dan aktivis Siti Kassim, pegawai-pegawai tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa.

Beliau berkata tidak ada seorang pun dibenarkan masuk ke kawasan sekatan. Peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media juga telah dihalang daripada memasuki kawasan berkenaan.

"Seperti yang anda dapat lihat daripada kemas kini yang dibuat, terdapat banyak kenderaan dari Jabatan Perhutanan, begitu juga polis dan anggota Pasukan Gerakan Am.

"Mereka kini telah tiba di Simpang Petir, lokasi sekatan pertama," kata Siti Kasim kepada The Star Online, Selasa.

Siti Kassim berkata beliau tidak dapat berada di Gua Musang tetapi mendapat kemas kini daripada penduduk Orang Asli di sana.


Beliau berkata, Jabatan Perhutanan datang dengan 27 kenderaan manakala polis mempunyai enam kenderaan di lokasi.

Beliau menegaskan bahawa dua daripada kenderaan itu kosong, dan kenderaan itu mungkin akan digunakan untuk mengangkut orang asli yang akan ditangkap.

"Mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menangkap orang Asli.


"Malah pihak polis pun tidak boleh, kecuali mereka tidak dapat mengemukakan pengenalan.

"Kuasa mereka untuk membuat tangkapan di bawah Akta ini adalah sangat terhad dan mereka hanya boleh menahan Orang Asli yang enggan menunjukkan pengenalan mereka," jelasnya.


Beliau berkata masyarakat Orang Asli akan mengambil tindakan di bawah Akta itu jika mereka ditangkap.

Pada masa ini terdapat tiga sekatan, iaitu di Simpang Petir, Pos Pasik dan Pos Bihai.

"Sekatan di Simpang Petir adalah di Hutan Simpan Balah. Saya rasa, mereka menyasarkan sekatan Simpang Petir kerana terdapat banyak balak tersadai di sana selama dua bulan atau lebih.

"Mereka benar-benar mahu membawa keluar kayu balak itu. Di Pos Bihai, mereka tidak begitu bimbang kerana aktiviti pembalakan masih belum bermula di sana," katanya.

Kerajaan Kelantan di bawah PAS menegaskan bahawa masyarakat orang Asli perlu merobohkan sekatan mereka atau menerima akibatnya.


Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sekatan itu tidak sah dan masyarakat telah menghalang pembangunan.

Lebih 200 Orang Asli telah membina sekatan antara Pos Tohoi dan Pos Gob pada akhir bulan September untuk mengelakkan kayu balak dikeluarkan dari dua kawasan hutan simpan kekal Balah, masing-masing meliputi kawasan seluas 239 dan 404 hektar yang telah diluluskan untuk pembalakan.

Jabatan Perhutanan Negeri mengeluarkan arahan menghentikan kerja-kerja pembalakan pada bulan Oktober untuk mengurangkan ketegangan antara pembalak dan Orang Asli.

Notis bertarikh 6 November, memberikan tempoh dua minggu untuk kumpulan aktivis merobohkan sekatan.

Notis itu memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil terhadap mereka di bawah Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993), yang menetapkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
isu balak, Gua Musang, sekatan

Artikel Sebelum

Empat Maut Nahas Di NKVE

Artikel Berikut

Artikel Lain