suria

Konsep Wasatiyyah, Kesederhanaan Malaysia Jadi Perhatian Dunia

AMMAN: Konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan yang dilaksanakan Malaysia sudah mula mendapat perhatian banyak pihak di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates Foundation (GMMF), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berkata apa yang dilakukan Malaysia mendapat respons di peringkat antarabangsa, sehinggakan Malaysia diberikan ruang untuk memperkatakan tentang konsep itu terutamanya inisiatif GMMF.

Katanya selain itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur tahun lepas, GMMF telah diangkat bukan hanya sebagai "Malaysian Initiative" tetapi sebagai "ASEAN Initiative".

" Antaranya adalah untuk GMMF mengadakan series of 'roundtable talk' di semua ibu negara ASEAN. Kita dah bermula di Singapura tahun lepas, dan di Vientiane, Laos beberapa bulan lepas. Kita akan selesaikan di semua ibu negara ASEAN dalam masa setahun, dua ini. 

Selepas 'roundtable' akan dibuat modul dikenali sebagai 'ASEAN Model of Moderation'," katanya.

Beliau berkata dalam ucaptama pada Seminar Menangani Keganasan Ekstremisme di University of Jordan di sini pada Jumaat.

Dalam ucaptamanya yang bertajuk 'Pendekatan Kesederhanaan Dalam Menghadapi Gerakan Ekstremisme, Liberalisme  and  Pluralisme', Nasharudin berkata pada Khamis beliau dan rombongan GMMF telah mengadakan kunjungan hormat di International Forum Moderation di sini, sebuah pertubuhan sebagaimana GMMF di Jordan.

"Satu perbincangan telah diadakan dan dalam perbincangan itu mereka menawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Jordan untuk diberi pendedahan tentang konsep Wasatiyyah. Perkara ini akan saya bincangkan dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ)," katanya.

Sementara itu, Nasharudin berkata ancaman ekstremisme tidak harus tertumpu kepada hal-hal keselamatan sahaja kerana ia jauh lebih besar daripada itu kerana ia turut berkaitan dengan isu akidah, fikrah dan kefahaman dalam menjalani kehidupan sebagai muslim dan dan rakyat Malaysia.

Seminar selama dua hari bermula Jumaat yang turut dianjurkan oleh MPMMJ itu dihadiri oleh hampir 500 orang pelajar Malaysia di Jordan. 

Diadakan sempena Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan kali ke-11 (PERMATA XI), seminar itu diharap akan mempromosi nilai kesederhanaan dan Wasatiyyah untuk membanteras penyebaran ancaman ideologi ekstrem dalam kalangan belia Malaysia.

Selain Nasharudin, Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Wan Kamal Mujani turut membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

GMMF ditubuhkan sebagai pusat rujukan utama bagi penyelarasan dan penyebaran maklumat serta bahan kempen kepada semua pihak yang mahu menyertai usaha menentang ekstremisme.

Yayasan keintelektualan ini memfokus kepada kewujudan keamanann bersama, urus tadbir dan peraturan undang-undang, kewangan dan ekonomi, pendidikan, penyelesaian konflik, mengurus Islamophobia dan menangani keganasan melampau. - BERNAMA

Wasatiyyah, GMMF, ASEAN

Artikel Lain