suria

Syarikat Katering Didenda RM15,000 Gagal Hantar Penyata GST

SHAH ALAM: Sebuah syarikat perkhidmatan katering didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 13 tuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) antara Ogos 2015 dan awal Jun tahun ini.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid mengenakan denda itu selepas syarikat Kerissinar Holding Sdn Bhd., yang diwakili pengarahnya, Siti Nor Azimah Zainal Abidin mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

Syarikat itu gagal mengemukakan penyata cukai GST bagi tempoh bercukai dari 1 April hingga 30 April 2015, 1 Mei hingga 31 Mei 2015, 1 Jun hingga 30 Jun 2015, 1 Julai hingga 31 Julai 2015, 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2015, 1 September hingga 30 September 2015, 1 Oktober hingga 31 Oktober 2015, 1 November hingga 30 November 2015, 1 Disember hingga 31 Disember 2015, 1 Januari hingga 31 Januari 2016, 1 Februari hingga 29 Februari 2016, 1 Mac hingga 31 Mac 2016 dan 1 April hingga 30 April 2016, sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 41 (1) Akta GST 2014.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pusat Pemprosesan GST, Aras 1, Blok A, Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan SS6/3, Kelana Jaya dekat sini, antara 2 Ogos 2015 hingga 1 Jun lepas.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Ketika rayuan untuk mengurangkan hukuman, Siti Nor Azimah, yang tidak diwakili peguam, berkata pihaknya tidak dapat menghantar sebahagian penyata GST dalam tempoh waktu yang ditetapkan kerana lewat menerima penyata kira-kira daripada syarikat pembekal bahan mentah.

Menurutnya, syarikatnya yang mengendalikan hampir 200 kakitangan bagaimanapun telah menghantar senarai penyata GST itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kastam, Norliana Amran.

GST

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain