suria

Lelaki Hina Sultan Johor, Tengku Mahkota Dicekup

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan selepas mengeluarkan kenyataan yang menghina Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor menerusi forum awam di dalam laman media sosial.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat kira-kira pukul 10.30 pagi pada Isnin.

Beliau berkata, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, suspek yang merupakan penduduk negeri itu berjaya ditahan pada Rabu pukul 8.45 malam.

"Lelaki terbabit ditahan di Balai Polis Bayan Baru dan kami percaya suspek merupakan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan komen tentang Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor dalam forum tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Khamis.

Pihak polis turut merampas telefon dan kad sim yang dipercayai digunakan suspek berusia 34 tahun itu untuk mengeluarkan komen tersebut.

"Kenyataan yang dikeluarkan suspek mengancam keamanan dan keharmonian negeri Johor," kata Wan Ahmad.

Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menegaskan bahawa polis Johor tidak akan berkompromi atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain