suria

Wanita Malaysia Masih Jalani Hukuman Di Luar Penjara Peru - Wisma Putra

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Wanita Malaysia yang dilaporkan terkandas di Peru masih lagi menjalani hukuman di negara itu yang dijadualkan tamat pada Mei 2017, menurut kenyataan Kementerian Luar, Rabu.

Menurut kementerian, Shyzlin Hathaman, 42, bukan seorang warganegara Malaysia yang terkandas di Peru tetapi masih menjalani tempoh hukuman dalam sistem penal Peru.

"Mahkamah Peru telah memberi status 'Semi Libertad' atau separa bebas kepada Shyzlin di mana pesalah dibenarkan menjalani hukuman di luar kawasan penjara dengan kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Menurut kenyataan itu, Kedutaan Besar Malaysia di Peru sedang berusaha dengan pihak berkuasa Peru untuk memastikan urusan pembebasan Shyzlin berjalan dengan lancar apabila tiba masanya kelak.

"Sepertimana negara-negara lain, urusan pembebasan dan penghantaran pulang banduan adalah tertakluk kepada undang-undang negara tersebut dan hendaklah dihormati.

"Namun begitu, Kedutaan Malaysia sentiasa prihatin dan akan memberikan bantuan yang sepenuhnya untuk memastikan urusan ini tidak tertangguh bagi membolehkan Shyzlin pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini bagi mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu mengenai nasib seorang wanita warga Malaysia yang merupakan bekas keldai dadah dan telah menjalani hukuman penjara selama empat tahun di Peru namun kini mendapatkan perlindungan di sebuah gereja di negara itu.

Mengulas laporan berkenaan, Kementerian Luar menzahirkan rasa kesal kerana temu bual yang dijalankan tidak mencerminkan situasi sebenar yang dihadapi oleh Shyzlin.

Menurutnya laporan dan temu bual yang disiarkan itu telah meletakkan Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru dalam pandangan serong seolah-olah tiada sebarang tindakan diambil dalam membantu mangsa.

Menurut kementerian itu, Shyzlin ditahan pada 19 Mei 2010 di Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chaves, Peru atas kesalahan membawa dan cubaan menyeludup dadah kokain seberat 2.590kg.

"Dia telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun lapan bulan dan denda 5,000 sol (RM6,460) bermula 17 September 2010. Tempoh hukuman ini dijadualkan tamat pada Mei 2017.

"Setelah menjalani kira-kira dua pertiga daripada tempoh hukuman tersebut, pada 25 Julai 2014, Mahkamah Peru telah memberi status Semi Libertad (separa bebas) di mana pesalah dibenarkan menjalani hukuman di luar kawasan penjara dengan kebenaran pihak berkuasa.

"Dalam keadaan ini pesalah akan dikenakan syarat-syarat tertentu termasuk melapor diri kepada pihak berkuasa secara berkala," menurutnya.

Menurut kenyataan itu, status Semi Libertad diperkenalkan untuk membantu pesalah-pesalah dalam mencari pekerjaan dan menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila dibebaskan sepenuhnya nanti.

Kementerian Luar sentiasa prihatin dan berusaha untuk melakukan yang  terbaik dalam memantau dan memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang ditahan atau dipenjara di luar negara atas pelbagai kesalahan terpelihara, menurutnya.

"Dalam kes Shyzlin, selain daripada tanggungjawab rasmi, kakitangan dan keluarga Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru kerap kali melawat mangsa dan sedikit sebanyak menghulurkan bantuan peribadi untuk meringankan beban mangsa yang menghidap kencing manis".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain