suria

PAU 2016 Medan Paling Serius Bincang Kejayaan, Kelemahan Parti

Datuk Md Alwi Che Ahmad ketika menyampaikan perbahasan pada PAU 2011. -fotoTHESTAR
KOTA BHARU: Perhimpunan Agung Umno 2016 hujung bulan ini, perlu menjadi medan paling serius untuk membincangkan kejayaan dan kelemahan parti dalam menjaga rakyat.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata inilah masa paling sesuai untuk perwakilan menyuarakan mesej dari rakyat yang berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa manakala pemimpin pula mendengar untuk diambil tindakan sebaik mungkin.

"Inilah waktunya kita berhadap dengan pemimpin dan pemimpin mendengar denyut nadi rakyat, jika kita tak sampaikan di situ, mesej tak akan sampai, menteri sibuk dengan Kabinet, sibuk dengan kerja negara dan pemimpin kita sangat sibuk kadang-kadang boleh lupa dengan tugas sebenar yang sangat penting iaitu menjaga rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Md Alwi, 60, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kok Lanas dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Ketereh, telah lebih 10 kali menjadi jurucakap Umno Kelantan pada perhimpunan tersebut sejak 1991 membabitkan tiga era presiden parti iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menasihati mereka yang dilantik sebagai jurucakap supaya bercakap berterus terang berkaitan kehendak rakyat kepada pemimpin tanpa menghina pemimpin terbabit.

"Beritahu mereka (pemimpin) perkara sebenar apa yang rakyat rasa, apa yang kita di bawah rasa seperti himpitan kepada perbelanjaan yang agak tinggi...rakyat mampu atau tidak, kerana kita mahu pemimpin mengubah keadaan supaya rasa tidak senang itu, menjadi senang," katanya.

Md Alwi berkata perhimpunan tahunan itu juga akan menjadi wadah untuk berkongsi pelbagai kejayaan hasil perjuangan parti dan inisiatif kerajaan dalam mengangkat kehidupan rakyat di seluruh negara.

Katanya perhimpunan kali ini akan turut menumpukan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 termasuk usaha mengukuhkan perpaduan parti dan strategi menarik sokongan pengundi kepada Umno dan Barisan Nasional.

Beliau percaya Umno akan menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada calon pilihan raya tersebut adalah muka baharu dengan imej baharu, bersih dan disenangi rakyat.

Ditanya usul yang akan dibawa Umno Kelantan pada perhimpunan tersebut, Md Alwi berkata ia melibatkan tujuh resolusi yang dibuat pada Konvensyan Umno Kelantan pada bulan lepas.

Tujuh resolusi merangkumi pengukuhan solidariti, akur kepada keputusan pimpinan dan setia kepada perjuangan parti, cakna rakyat serta melaksanakan rejuvenasi atau pengislahan Umno.

Yang lain ialah memperkukuh jentera parti khususnya di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), mendekati golongan muda dan membawa agenda pembangunan lestari dalam menerokai sumber asli tanpa menggadai nilai-nilai Islam.

Perhimpunan Agung Umno 2016 akan berlangsung pada 29 November sehingga 3 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dijangka lebih 3,200 perwakilan hadir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain