suria

Banyak Warung Dibuka Untuk Geng Baju Merah Kelaparan - Bersih

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Hishamuddin Rais dalam nada berseloroh berkata penyokong Gerakan Baju Merah yang 'kelaparan' pada Sabtu ini tidak perlu bimbang kerana banyak peniaga warung yang berniaga pada hari tersebut.

"Jika penyokong dia (Datuk Seri Jamal Md Yunos) kelaparan, ada banyak warung pada hari itu.

"Tidak dinafikan bisnes sentiasa dapat sambutan pada hari itu. Jadi tiada masalah nak dapatkan air, nasi bungkus dan nasi kandar," katanya dalam nada berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Jamal yang juga Ketua Gerakan Baju Merah yang tidak memberi jaminan mengenai tindakan pengikutnya yang lapar pada perhimpunan Bersih, Sabtu ini.

"Saya tidak pasti terhadap penyokong saya kerana siapa yang hadir pada hari itu, saya tidak sediakan makanan.

“Pasti yang datang pada hari itu, lapar," kata Jamal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa umat Islam supaya turun menyertai perhimpunan Bersih 5 kerana ia satu tuntutan agama.

"Bila kita berjuang untuk satu kebenaran dan elemen keadilan, pilihan raya bersih dan adil adalah satu ibadah.

"Seluruh masyarakat Islam harus faham, apabila kita turun ke perhimpunan Bersih ini, ia adalah satu ibadah yang dituntut kerana ia sesuatu yang akan diberi ganjaran insya-allah jika kita ikhlas membawa sesuatu kebaikan kepada negara dan masyarakat," katanya.

Bersih 2.0 tetap akan meneruskan perhimpunan secara aman di Dataran Merdeka pada Sabtu ini meskipun diberi amaran keras untuk menarik balik penganjuran tersebut.

Peserta Bersih akan berkumpul di stesen LRT Bangsar (Dataran Maybank) dan Masjid Negara pada pukul 10 pagi sebelum berarak menuju Dataran Merdeka kira-kira pukul 12.30 tengah hari Sabtu.

Baju Merah, Bersih, Dataran Merdeka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain