Sembilan Kru Kapal Nyaris Lemas, Bot Kargo Tenggelam - Semasa | mStar

Sembilan Kru Kapal Nyaris Lemas, Bot Kargo Tenggelam

Krew kapal kargo 'Putra Harapan Sejati' yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dibawa ke Jeti APMM Pulau Kambing pada Rabu. Foto: Bernama

KUANTAN: Sembilan kru kapal termasuk kapten warga Indonesia nyaris lemas sebelum berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) apabila bot kargo dinaiki mereka bocor dalam kejadian di 12.8 batu nautika dekat perairan Kuala Terengganu, di sini Rabu.

Pengarah APMM Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata ketika kejadian pada 10 pagi tadi, bot kargo Putra Harapan Sejati membawa muatan kelapa seberat 170 tan itu dalam pelayaran dari Batam, Indonesia ke Narathiwat, Thailand.

"Bot kargo seberat 300 tan, sepanjang 32 meter dan selebar lima meter itudikatakan bocor di bahagian bawah sehingga air memasuki bilik enjin dan janakuasa menyebabkan mereka putus bekalan elektrik lalu tidak boleh meneruskan pelayaran.

"Rentetan itu, kapten kapal berkenaan membuat panggilan kecemasan bagi mendapatkan bantuan dan sebaik menerima maklumat APMM menggerakkan tiga bot kelokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat," katanya pada sidang media,di sini pada Rabu.

Mamu berkata anggotanya kemudian berjaya menemui bot kargo berkenaan pada11.45 pagi dalam keadaan sebahagian tenggelam sebelum melakukan tindakan pantas menyelamatkan sembilan kru berkenaan.

"Kesemua mangsa lelaki berusia 20 hingga 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dihantar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya melaporkan kejadian itu kepada Kedutaan Indonesia bagi tindakan susulan selain ia turut dimaklumkan kepada Jabatan Laut kerana dipercayai berlaku tumpahan minyak di lokasi kejadian.

"Bot kargo itu dipercayai membawa 20,000 liter minyak sepatutnya sampai ke destinasi pada Khamis jika tidak berlaku insiden ini," katanya.

Pada masa sama, lokasi kejadian turut ditandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL