suria

SPRM Akan Ambil Keterangan Kontraktor, Kakitangan GLC Kes 'Datuk' Salah Guna Kuasa & Rasuah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan beberapa kontraktor dan kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan kes pengarah GLC yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menerima wang suapan.

Menurut sumber, SPRM sedang mengesan beberapa saksi bagi membantu siasatan.

"SPRM akan terus mengesan saksi-saksi yang terlibat untuk diambil keterangan sehingga kes ini diselesaikan," katanya kepada Bernama..

Sumber itu berkata SPRM telah merampas beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Pada Isnin, SPRM menahan seorang pengarah GLC berusia 50 tahun bergelar 'Datuk' di kediamannya di Shah Alam kerana disyaki memberikan projek kepada syarikat berkepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah GLC sebelum meletakkan jawatan itu pada tahun lepas.

Berikutan itu, SPRM turut menyita simpanan RM39.9 juta daripada beberapa akaun bank milik suspek dan beberapa ahli keluarganya.

Pada Selasa, suspek bersama adik lelakinya berusia 35 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan di Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana menerima dan memberi suapan. - BERNAMA 
SPRM, kes rasuah, GLC, Datuk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain