suria

Polis Ubah Status Kehilangan Misteri Lima Beradik

JOHOR BARU: Kes lima beradik yang dilaporkan hilang lebih dua minggu lepas, kini diklasifikasikan sebagai dilarikan orang dari pusat penjagaan yang sah mengikut Seksen 363 Kanun Keseksaan.

Status sebagai kes orang hilang sebelum ini kini diubah berikutan tiada petunjuk baharu bagi mengesan mangsa berusia antara 10 dan 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 31 Okt lepas.

Justeru, polis percaya lima beradik itu kini berada di bawah kawalan seseorang individu atau di bawah jagaan pusat kebajikan.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata penukaran klasifikasi kes ini akan membolehkan polis mengambil tindakan lebih agresif dan memberi lebih kuasa untuk memeriksa premis-premis yang disyaki kanak-kanak itu berada.

"Sehingga kini, polis gagal mengesan lokasi lima beradik itu selepas memeriksa 11 buah rumah termasuk di Bukit Gambir, Muar, Mutiara Rini, Pasir Gudang dan Ulu Tiram," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Katanya polis telah telah menemubual 11 ahli keluarga di sebelah ibu lima beradik berkenaan dan sebahagian daripada keluarga bapa mereka.

Menurutnya siasatan mendapati kesemua mereka sebelum ini ditempatkan di rumah kebajikan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum dipindahkan ke Johor Bahru di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Shen De, sejak Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, rumah kebajikan di lokasi berkenaan telah ditutup dan difahamkan beroperasi dengan nama baharu, yang mana pihak polis kini sedang dalam proses mengesan rumah kebajikan berkenaan.

Selain itu, Mohd Taib berkata polis juga sedang mengemas kini maklumat keluarga mangsa dengan lebih lengkap bagi mengesan kesemua beradik itu.

Pada 31 Okt lalu, Yeo Soon Chuan (perempuan), 17; Yeo Soon Shen (lelaki), 16; Yeo Soon Yuan (perempuan), 13; Yeo Soon Hoo (perempuan), 12; dan Yeo Soon Lian (lelaki), 10, disedari hilang kira-kira 10 malam ketika menghadiri majlis keagamaan Persatuan Penganut Tian Hou Shen Gong, Taman Tun Aminah, di sini.

Menurut saksi, Mohd Taib berkata kesemua mereka yang memakai kemeja-T berwarna merah jambu yang tertera tulisan 'Shen De', dilihat meninggalkan kawasan majlis bersama-sama dan melintas jalan yang tidak jauh daripada lokasi majlis.

"Salah seorang mangsa ada menghubungi seorang individu yang mempunyai ikatan keluarga sehari selepas mereka hilang dan memaklumkan mereka dalam keadaan baik," katanya.

Beliau meminta agar mana-mana pihak atau pusat jagaan kanak-kanak yang mempunyai maklumat tentang keberadaan kanak-kanak ini untuk tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Jika (ada) mereka (pusat jagaan) didapati menyembunyikan kanak-kanak ini, kita terpaksa ambil tindakan mengikut akta tersebut, kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, ASP Victor Ganesan di talian 016-7552626 atau Ketua Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Utara, ASP Arbae Makdor di talian 019-7557999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - BERNAMA

orang hilang, lima beradik, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain