suria

15 Suspek Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh Empat Warga Myanmar

Antara empat mayat yang ditemukan bergelimpangan di kawasan semak di Kampung Tanjung Hilir, Bachok pada 30 Oktober lalu.

KOTA BARU: Polis menahan 15 suspek warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan empat warga Myanmar di Bachok pada 30 Oktober lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata empat suspek ditahan pada 3 November dan 10 lagi pada 13 November.

Katanya kesemua suspek itu, termasuk seorang wanita, berusia antara 20 dan 50 tahun.

Mereka ditahan di Kota Bharu, Jeli dan Kuala Lumpur.

"Kami menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 20an di Kuantan (Pahang) pada pukul 1.30 tengah hari Isnin," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini Selasa.

Beliau berkata polis akan memohon perintah reman dilanjutkan bagi 14 suspek yang akan berakhir pada 19 dan 20 November ini untuk siasatan lanjut.

Rahman berkata polis juga sedang mengesan beberapa orang lagi suspek.

Mayat mangsa yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu dijumpai di dalam semak berhampiran jalan di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, Bachok.

Keempat-empat mangsa dipercayai mati sekurang-kurangnya tiga hari sebelum mayat mereka ditemui.

Dalam kes lain, Ab Rahman berkata polis menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes seorang lelaki berusia 29 tahun disyaki mati dibunuh di Felda Aring, Gua Musang, pada 11 November lepas.

Katanya empat suspek ditahan pada 12 November lalu.

Suspek utama ditahan keesokan harinya di sebuah rumah di Ladang Sungai Retong, Kuala Koh, Gua Musang, pukul 2.30 petang.

Polis merampas sebatang kayu daripada suspek berusia 34 tahun itu yang dipercayai digunakan untuk memukul kepala mangsa.

"Siasatan mendapati suspek memukul mangsa yang dikatakan mempunyai hubungan dengan adik iparnya," kata Abd Rahman.

Kesemua suspek itu direman tujuh hari mulai 13 November. - BERNAMA

kes bunuh, warga Myanmar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain