suria

Tiga Termasuk Pengarah GLC, Adik Disyaki Rasuah Lebih RM39 Juta Direman

Pengarah sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berstatus Datuk berusia 50 tahun (tengah) bersama dua lelaki direman tujuh hari bermula bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan suapan lebih RM39.9 juta.

PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama adiknya direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan menerima suapan lebih RM39.9 juta.

Lelaki berstatus 'Datuk' berusia 50 itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada 5 petang Isnin kerana disyaki memberikan projek kepada syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan tahun lalu.

Selain adiknya, 35, yang berjawatan pengarah di syarikat sama ketika itu, turut direman ialah lelaki berusia 61 tahun yang juga pengarah urusan syarikat berkenaan.

Perintah reman yang berkuat kuasa hari ini hingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah di sini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima dan memberi suapan. 

Jurucakap SPRM berkata, tahanan reman bagi ketiga-ketiga suspek ialah bersabit dengan kesalahan semasa kesemua mereka bertugas di GLC di mana suspek utama memegang jawatan sebagai CEO. 

Katanya, ketika ditahan, suspek utama merupakan pengarah di sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan, manakala dua yang lain masih bertugas di GLC yang sama.

"Dua individu terbabit ditahan malam tadi selepas hadir memberi kenyataan di ibu pejabat SPRM di sini semalam," katanya.

Dalam kes berasingan, tahanan reman seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC berhubung dakwaan menyalahg guna kuasa dan menerima suapan melebihi RM10 juta yang tamat hari ini disambung enam hari lagi, bermula esok.

Dua kontraktor yang turut direman berhubung kes sama dilepaskan dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin.-- Bernama

GLC, SPRM, Shah Alam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain