suria

Bajet Kedah 2017 Bukan Angan-Angan - MB

ALOR SETAR: Bajet Kedah 2017 bukan suatu angan-angan yang tinggi, sebaliknya ia realistik dan boleh dicapai walaupun mencatat defisit RM75.5 juta atau 10.27 peratus.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang pertama kali membentangkan bajet selepas memegang jawatan itu berkata, selain dibuat mengikut kemampuan, bajet tersebut meneruskan tradisi kerajaan membela rakyat yang telah dipraktikkan sejak berpuluh tahun lalu.

"Kita yakin dengan permuafakatan di antara semua terutama sekali penjawat awam dan exco dan saya yakin bajet ini kita akan dapat laksanakan dari segi kutipan dan perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2017 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Ahad.

Kedah membentangkan Bajet 2017 berjumlah RM1.06 bilion dengan defisit RM75.5 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM734.7 juta.

Bertemakan 'Muafakat Memacu Ekonomi, Menggilap Potensi Negeri', bajet itu memperuntukan RM810.1 juta sebagai perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta perbelanjaan pembangunan.

Ditanya mengenai pengurangan defisit sebanyak 4.63 peratus berbanding bajet 2016, Ahmad Bashah berkata beliau memberi penekanan kepada kutipan hasil dan penangguhan pelaksanaan beberapa program yang memakan kos yang agak tinggi. 

Artikel Berikut

Artikel Lain