suria

PPBM-Pakatan Harapan Akan Meterai Kerjasama Secepat Mungkin

SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan memeterai perjanjian kerjasama bersama Pakatan Harapan secepat mungkin.

Muhyiddin berkata, beliau akan mendapatkan tarikh untuk berbincang dengan pimpinan parti dan pakatan pembangkang mengenai draf perjanjian yang akan ditandatangani.

"Saya minta supaya beri peluang kepada pimpinan PPBM untuk mengadakan pertemuan kali pertama dengan pimpinan Pakatan Harapan.

"Walaupun saya telah mengadakan perbincangan dengan presiden PKR, tetapi ahli-ahli kita tidak tahu hal ini.

"Jadi wajarlah saya beritahu kepada mereka dan mendapatkan tarikh untuk bersama dengan kepimpinan Pakatan Harapan, selepas itu kita boleh mewujudkan persefahaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat Konvensyen Pakatan Harapan kali pertama di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, Sabtu.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, terdapat perancangan untuk berjumpa dengan PAS bagi menjemput parti Islam itu menyertai Pakatan Harapan.

"Kita dalam perancangan berjumpa PAS dalam persediaan  bagi menghadapi pilihan raya," katanya.

Tambah Wan Azizah, PAS turut dijemput menyertai konvensyen pada Sabtu bersama PKR, DAP dan Amanah termasuk PPBM.

"Mereka dijemput untuk bersama dalam konvensyen tetapi mereka pilih untuk tidak datang," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain