suria

Mangsa Kedua Insiden Bot Terbalik Di Sungai Besut Dijumpai

KUALA TERENGGANU: Mangsa kedua kejadian bot terbalik di Sungai Besut dekat Kampung Cegar Batang, Pasir Akar, Hulu Besut pagi Sabtu ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 6 petang.

Nurul Hasmila Ismail, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Besut, ditemukan kira-kira 50 meter dari kawasan mangsa pertama, Nurul Adira Afina Hakmal, 9, dijumpai. 

Terdahulu, Nurul Adira ditemui 50 meter dari kawasan bot mula terbalik oleh pasukan mencari yang terdiri daripada anggota bomba dan penduduk kampung, pada pukul 1.45 tengah hari.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, lima daripada tujuh penumpang bot, empat daripadanya satu keluarga terselamat apabila bot yang mereka naiki terbalik di Sungai Besut.

Mereka dikatakan sedang menuju ke satu destinasi untuk mencari siput etok.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Mustaffa Ismail ketika dihubungi Bernama berkata, kesemua lima mangsa yang terselamat telah dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk rawatan dan keadaan mereka adalah stabil.

Mereka ialah Salahuddin Abdul Rahman, 54, dan isterinya Hasanah Mat Zin, 43, serta anak mereka Norashikin, 22, dan Zarina, 31, serta anak saudara, Aina Nasuha Ismail, 12. 

Salahuddin ketika ditemui Bernama berkata, mereka dalam perjalanan menuju satu lokasi pasir di seberang Sungai Besut untuk mencari siput etok ketika kejadian itu berlaku.

Katanya, selepas bergerak kira-kira 100 meter dari jeti, bot yang mereka naiki tiba-tiba terbalik dan mula tenggelam di tengah sungai. 

"Saya hanya sempat menyelamatkan lima daripada mereka dengan masing-masing bergayut pada badan saya manakala dua lagi tidak sempat berpaut pada saya", katanya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain