suria

Lelaki Dipercayai Warga Brazil Ditemui Maut Ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai warga Brazil ditemui maut dengan kesan tembakan pada anggota badan, berhampiran jejantas kuari di Serendah, Hulu Selangor pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R.Supramaniam berkata, mayat lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di tepi jalan dengan kesan darah di bahagian kepala pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

"Pemeriksaan Unit Forensik polis ke atas mayat lelaki berkenaan mendapati terdapat dua kesan dipercayai kesan tembakan pada pipi kiri dan dada kiri mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Supramaniam berkata, maklumat mangsa masih dalam siasatan dan polis telah menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi untuk mendapatkan bukti kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain