suria

Staf Prasarana Bantu 360,000 Jemaah Dalam Tujuh Hari

ASSALAMUALAIKUM. Sekembali dari haji pada tahun lalu saya pernah ditanya oleh beberapa rakan dan kenalan mengenai servis tren di Tanah Suci Makkah. Sukar menjawab pertanyaan mereka sebab belum pernah bertemu mereka yang bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan itu.

Alhamdulillah, ketika mengerjakan ibadat haji baru-baru ini, peluang untuk bertemu sekumpulan kakitangan Prasarana tidak saya lepaskan begitu saja. Semuanya bermula apabila kenalan rapat, Amera Sabrena mempelawa saya ke kediamannya di Alawi.

“Kak Ana datanglah rumah saya nanti,” ujar Amera dalam whatsapp.

“Insha Allah. Ada apa sebenarnya?” balas saya.

“Saya ada buat makan-makan sikit untuk kawan yang nak balik KL,” balas beliau lagi.

Tiba hari dijanjikan, saya berjalan dari hotel penginapan di Movenpick yang terletak di Hajar Tower ke Hotel Mira Ajyad untuk menunggu suami Amera, Hairul Nizam, yang dijadualkan tiba di depan kawasan hotel berkenaan selepas solat Maghrib.

Saya menunggu Hairul di dalam Hotel Saraya Ajyad. Tidak lama menunggu, Hairul tiba dengan kereta warna putih.

“Kak duduk di belakang ye,” kata Hairul sejurus terlihat saya.

“Baiklah,” balas saya dan melangkah masuk ke dalam keretanya.

“Di sini (Arab Saudi) bukan mahram tidak boleh duduk di depan (kereta),” ujarnya.

“Oh ok,” balas saya tersenyum sambil bersandar di dalam keretanya sendirian.



Hairul adalah Pengurus Tapak Projek Masjidil Haram dan beliau juga bertanggungjawab dalam kerja-kerja perluasan Masjidil Haram serta projek jam besar di Menara Abraj Al-Bait beberapa tahun dahulu.

Tidak sampai 15 minit, saya tiba di kawasan perumahan Alawi yang masih lagi terletak di kawasan tanah haram. Kawasan perumahan yang di depannya terletak deretan kedai dan gedung beli-belah kelihatan sibuk.

Sejurus tiba dan memasuki apartment serba selesa dan sedap mata memandang itu, saya bersalaman dengan Amera yang turut memperkenalkan saya kepada dua lagi tetamunya, Nailah dan Zaiton. Amera dan Nailah dari Malaysia manakala Zaiton dari Singapura. Ketiga-tiga mengikut suami bertugas di Arab Saudi.

Di atas meja penuh hidangan. Dalam hati berkata-kata tentu ramai tetamu Amera pada malam itu.

Saya mengintai makanan yang terhidang. Ada sambal tumis, rendang ayam, nasi lemak, tempe goreng, manisan puteri mandi dan beberapa jenis lagi pencuci mulut, termasuk buah-buahan.

Amera sibuk di dapur. Beliau turut dibantu oleh Zaiton dan Nailah. Mereka kelihatan mesra. Saya leka melihat anak Nailah, iaitu Ammar dan anak Amera, Medina bermain di dalam sebuah bilik.

Kira-kira satu jam selepas Isyak, kediaman Amera dan Hairul dipenuhi sekumpulan pemuda dari Malaysia. Hidangan di atas meja diletakkan di ruang makan yang sudahpun dipenuhi sekumpulan anak muda tadi. Saya belum mengenali mereka.



Usai makan, Hairul menghampiri saya dan bertanya:

“Kak Ana nak temuramah kakitangan Prasarana tak?” tanya Hairul.

“Akak boleh je. Mereka nak ke ditemuramah?” tanya saya pula.

“Mereka nak tu. Boleh tanya pasal khidmat tren pada musim haji baru-baru ini,” balas Hairul lagi.

Saya terlupa membawa pen dan buku nota pada malam itu kerana tidak sangka bakal bertemu kakitangan Prasarana dan menemuramah mereka.

“Amera, pinjam pen dan kertas boleh?” tanya saya.

Tanpa berlengah, Amera mengambil kertas bersaiz A4 dan sebatang pen untuk saya.

Sejurus kemudian, saya masuk semula ke dalam ruang makan yang menempatkan sekumpulan anak muda tadi dan Hairul memperkenalkan saya kepada mereka.

Mulanya saya diperkenalkan dengan Mahadzir Abdul Rani, Technical Controller Facilities Management Prasarana yang berada di Makkah selama enam bulan dan bertanggungjawab menjaga sembilan stesen tren iaitu tiga di Arafah, tiga di Muzdalifah dan tiga lagi di Mina.

Orangnya sentiasa mengukir senyuman dan terpancar keceriaan pada seraut wajahnya kerana pada keesokannya bakal kembali ke tanah air untuk bertemu isteri serta anak-anak.

Sepanjang musim haji, sejumlah lebih 700 kakitangan Prasarana ditugaskan menjaga, mengawal selia dan memantau perkhidmatan serta pergerakan jemaah haji menerusi khidmat Al-Mashaer Al Mughadasah Metro Southern Line (MMMSL).

Tren itu digunakan oleh jemaah haji dari negara Teluk dan Asia Selatan dengan kos 600 Saudi Riyal seorang selama tujuh hari dan jumlah ini sudahpun termasuk di dalam kos pakej haji yang dikenakan oleh negara terbabit.

“Tren yang mampu memuatkan 3,500 jemaah dalam satu-satu masa mempunyai 12 gerabak, 60 pintu dengan kelajuan 80 km sejam mula bergerak dari Arafah, Muzdalifah dan Mina pada 7 Zulhijah sehingga 14 Zulhijah setiap musim haji dengan 104 pemandu dari Malaysia manakala 12 warga tempatan yang bertugas mengikut syif,” katanya.

Mungkin kita menganggap lebih mudah untuk menaiki tren berbanding bas dan kereta tetapi hakikatnya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi petugas Prasarana untuk mengawal dan memantau pergerakan ribuan jemaah.

Menurut Azman Kamaruddin, sebahagian besar jemaah tidak sabar, berebut-rebut, sanggup memanjat dan bergaduh sesama mereka kerana mahu menaiki tren.



“Sukar mengawal mereka biarpun segala kemudahan di depan mata. Lif dan tangga elektrik ada setiap 300 meter tetapi jemaah mudah hilang sabar apabila sudah ramai dan mereka selalu berebut-rebut,” katanya.

Jika pada musim haji kita boleh saksikan kesesakan lalu lintas akibat ribuan kenderaan menuju ke satu arah, begitu juga dengan khidmat tren sehingga menyebabkan jemaah yang menggunakan servis itu perlu menunggu sehingga tiga jam untuk menaikinya.

Justeru, menurut Azman, ada yang tidak tahan untuk membuang air besar, termuntah dan terkencing sementara menunggu giliran untuk menaiki tren. Tempoh kemuncak adalah ketika wukuf iaitu 9 Zulhijah kerana khidmat tren adalah di antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ketika itu, petugas bekerja 24 jam dan setiap syif ada 60 kakitangan yang mengawal pergerakan jemaah di setiap stesen.

Selesai wukuf, khidmat tren lebih terkawal kerana jemaah bergerak untuk ke Muzdalifah secara berperingkat dan berakhir di Mina.

“Hakikatnya, bukan mudah untuk memantau pergerakan jemaah. Mereka tidak berdisiplin dan kami selalunya diingatkan supaya banyak berzikir untuk menghilangkan tekanan ketika di stesen yang lebih besar dari Kuala Lumpur Central.

Biarpun perlu bergelut dengan pelbagai cabaran dan kesukaran, namun petugas Prasarana bersyukur kerana dapat melancarkan perjalanan 360,000 jemaah haji baru-baru ini dalam tempoh tujuh hari.

Mungkin ada yang bertanya adakah mereka hanya bekerja tujuh hari sahaja kerana tren digunakan pada musim haji. Hakikatnya, mereka bekerja setiap hari dan terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan dan keselamatan akibat cuaca panas kering selain masalah komunikasi yang menjadi cabaran perlu diharungi.

Menurut Ketua Jabatan Pintu dan Platform (MMMSL), Hilruwan Mat Kassim, cuaca di Arab Saudi boleh mencecah sehingga 54 darjah Celcius pada musim panas dan ketika dingin, suhu sekitar 9 darjah Celcius. Dalam cuaca panas, mereka akan bekerja sehingga jam 11 pagi dan bersambung semula pada waktu malam bagi mengelakkan dehidrasi dan strok haba.

Jika bukan musim haji, tren perlu bergerak 50 jam pada setiap bulan selain kerja-kerja penjagaan sembilan stesen dan 21 bangunan depoh perlu dikekalkan demi kelancaran jemaah haji untuk musim haji akan datang.

Keinginan saya untuk melalui pengalaman menaiki tren itu dari stesen Jamarat ke Muzdalifah 3 tidak tercapai kerana jadual perjalanan yang ditetapkan ialah pada 9 Oktober sedangkan saya berada di Madinah ketika itu dan berangkat pulang ke tanah air pada 10 Oktober.

Namun usaha dan kesungguhan Ketua Jabatan Pengurusan Fasiliti MMMSL, Raja Muhammad Azryn Shah Raja Iskandar memohon keizinan untuk membolehkan saya menyertai media Arab Saudi untuk melalui pengalaman menaiki tren itu sangat saya hargai cuma rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.

Insha Allah bersambung minggu depan.

Prasarana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain